
KUALA LUMPUR, 25 Januari – Seorang ahli perniagaan tempatan kerugian RM1.25 juta selepas dipercayai menjadi mangsa penipuan pelaburan klon yang menyamar sebagai entiti pelaburan antarabangsa antara Oktober hingga Disember tahun lalu.
- Ahli perniagaan rugi RM1.25 juta selepas tertarik dengan iklan pelaburan klon di Facebook.
- Mangsa diminta muat turun aplikasi 'TRADEJMC' yang memaparkan keuntungan palsu sehingga RM16.7 juta.
- Suspek kenakan 'yuran pengeluaran' RM4.5 juta untuk lepaskan dana, selepas 23 transaksi pindahan dibuat.
- Beberapa syarikat/akaun disyaki akaun keldai; orang ramai dinasihat semak Portal Semakmule sebelum transaksi.
Berdasarkan laporan polis yang dibuat pada 6 Januari lepas, lelaki berusia 50 tahun itu tertarik dengan iklan pelaburan di Facebook sebelum menyertai satu kumpulan WhatsApp yang dikendalikan individu tidak dikenali.
Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman memaklumkan mangsa kemudian diarahkan memuat turun satu aplikasi pelaburan dikenali sebagai ‘TRADEJMC’ yang memaparkan keuntungan pelaburan sehingga mencecah RM16.7 juta.
“Terpedaya dengan paparan keuntungan tersebut, mangsa melakukan sebanyak 23 transaksi pindahan wang ke beberapa akaun bank tempatan milik pihak ketiga dengan jumlah keseluruhan kerugian RM1.25 juta.
“Apabila mangsa cuba mengeluarkan keuntungan pelaburan itu, suspek meminta bayaran tambahan berupa ‘yuran pengeluaran’ sebanyak RM4.5 juta atau kira-kira 30 peratus daripada jumlah keuntungan kononnya sebagai syarat pelepasan dana,” menurut hantaran JSJK di Facebook hari ini (Ahad).
Bagaimanapun, hasil semakan lanjut mendapati pelaburan yang disertainya itu tidak mempunyai sebarang kaitan dengan firma kewangan dan pelaburan antarabangsa yang menggunakan nama hampir sama di Hong Kong.

Dalam pada itu, JSJK turut memaparkan beberapa nama syarikat dan perniagaan telah dikenal pasti antara pemilik akaun bank yang paling kerap dikaitkan dengan kes penipuan dan dimasukkan ke dalam pangkalan data Portal Semakmule bagi tempoh sebulan sehingga 15 Januari.
Antara yang merekodkan jumlah laporan tertinggi ialah JMC M Trading Venture;JMC Top Trading; CVC Grow Star Sdn. Bhd; KGI HK Sdn. Bhd. serta beberapa entiti lain yang disyaki digunakan sebagai akaun keldai bagi tujuan sindiket penipuan.
“Walaupun syarikat atau perniagaan berdaftar di Suruhanjaya Syarikat Malaysia, ia mungkin digunakan sebagai ‘Akaun Keldai’,” tambah kenyataan itu.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan membuat semakan terlebih dahulu melalui Portal Semakmule sebelum melakukan sebarang transaksi kewangan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.