
KUANTAN, 25 Januari – Seorang guru wanita mengalami kerugian RM325,000 selepas diperdaya sindiket penipuan yang menyamar sebagai pegawai Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) dan polis menerusi panggilan telefon, pada 25 September tahun lalu.
- Sindiket menyamar sebagai pegawai AMLA dan polis melalui panggilan telefon untuk menakutkan mangsa.
- Mangsa diarahkan pindahkan wang jaminan ke beberapa akaun bank yang diberikan suspek.
- Guru itu membuat 21 transaksi antara 29 September hingga 4 November menggunakan simpanan dan pinjaman bank.
- Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan selepas mangsa sedar ditipu.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, berkata berdasarkan laporan, suspek mendakwa beberapa akaun atas nama mangsa berusia 38 tahun itu terlibat dalam kes pengubahan wang haram.
Menurut beliau, akaun bank tersebut dibuka di Johor Bahru.
“Mangsa diarahkan memindahkan sejumlah wang sebagai wang jaminan ke beberapa akaun bank yang diberikan suspek.
“Akibat terpedaya, mangsa menggunakan wang simpanan sendiri serta membuat pinjaman bank sebelum melakukan 21 transaksi pindahan wang kelima kepada akaun bank berbeza,” menurut kenyataan pada Ahad.
Tambah Yahaya, mangsa membuat transaksi dalam tempoh 29 September hingga 4 November tahun lalu.
Menurutnya, mangsa hanya menyedari telah ditipu apabila gagal menghubungi suspek selepas nombor telefon berkenaan disekat dan wang yang dijanjikan tidak dipulangkan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.