
ISKANDAR PUTERI, 25 Januari- Polis berjaya menyelesaikan kes pemerasan seorang lelaki warga India yang dilarikan dari sebuah hotel di Gelang Patah di sini Selasa lepas dalam tempoh kurang 24 jam dengan penahanan dua individu.
- Polis menyelesaikan kes pemerasan dan menyelamatkan mangsa warga India dalam kurang 24 jam.
- Dua suspek tempatan berusia 26 hingga 32 tahun ditahan; seorang lagi lelaki berusia 30 tahun dikesan.
- Ujian air kencing kedua-dua suspek positif syabu dan salah seorang suspek mempunyai rekod jenayah serta dadah.
- Barang rampasan termasuk kereta, telefon bimbit, barang kemas, komputer riba, beg dan beberapa dokumen.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) M Kumarasan berkata, pihaknya menerima laporan daripada rakan senegara mangsa kira-kira pukul 11.08 malam pada Isnin yang memaklumkan dia telah dibawa individu tidak dikenali.
Beliau berkata, pengadu kemudian dihubungi suspek yang meminta bayaran RM5,000 sebagai syarat untuk melepaskan mangsa yang berusia 46 tahun.
“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis berjaya mengesan dan menyelamatkan mangsa di Gelang Patah kira-kira 12.15 tengah malam Selasa.
“Seterusnya, kita telah menahan seorang lelaki dan seorang wanita tempatan berusia lingkungan 26 hingga 32 tahun di Permas Jaya, di sini pada 1 pagi, hari sama,” katanya dalam kenyataan.
Kumarasan berkata, lelaki terbabit mempunyai rekod jenayah dan dadah, manakala ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua mereka positif dadah jenis syabu.
Beliau berkata, turut dirampas sebuah kereta, tiga telefon bimbit, barang kemas berserta resit, komputer riba, beg serta beberapa dokumen.
“Hasil siasatan mendapati mangsa diperdaya dan diperas ugut tiga suspek terdiri daripada dua lelaki serta seorang wanita tempatan dan dia dipercayai menjalin hubungan sulit dengan suspek wanita, yang merupakan teman wanita suspek yang masih bebas,” katanya.
Beliau berkata, kedua-dua suspek direman enam hari hingga 25 Jan manakala seorang lagi suspek lelaki tempatan berusia 30 tahun sedang dikesan bagi membantu siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 363 dan Seksyen 384 Kanun Keseksaan.
“Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat kanan ASP Mohd Ezwady Mat Lajis di talian 016-6833692 atau 07-5113622 dan hotline di 07-5114486,” katanya.