
KUALA LUMPUR, 24 Januari – Keupayaan ASEAN untuk bersaing dan menarik pelaburan semakin bergantung kepada keberkesanan rantau ini berfungsi sebagai ekosistem pengeluaran dan perdagangan yang bersepadu demikian tegas Majlis Rantaian Bekalan ASEAN (ASSC).
- Perlu kurangkan kos, tempoh dan kekangan peraturan untuk memudahkan perdagangan rentas sempadan dan menguatkan rantaian nilai serantau.
- Percepat pembaharuan praktikal untuk bantu PMKS berkembang merentasi pasaran ASEAN dalam sektor makanan dan minuman.
- Perkukuh daya tahan rantaian bekalan semikonduktor melalui kebolehjangkaan sempadan, kurangkan gangguan dan sokong mobiliti bakat.
Persekutuan Pengilangan Malaysia (FMM) dalam kenyataan memaklumkan, ASEAN perlu mengurangkan kos, tempoh dan kekangan peraturan yang terus menghalang perdagangan rentas sempadan serta melemahkan hubungan rantaian nilai serantau.
Perkara itu dinyatakan dalam mesyuarat ASSC yang menghimpunkan seramai 56 wakil daripada Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN, Rangkaian Pembuatan ASEAN (AMN), persatuan perniagaan sektoral ASEAN serta organisasi rakan strategik.
“Mesyuarat tersebut turut menilai tahap integrasi serantau dalam dua sektor keutamaan yang dikenal pasti bagi 2026, iaitu sektor makanan dan minuman serta semikonduktor.
“Dalam sektor makanan dan minuman, perdagangan intra-ASEAN masih terhad, dengan hanya sekitar 23 hingga 24 peratus daripada perdagangan makanan ASEAN berlaku dalam kalangan negara anggota,” menurut kenyataan itu.
Keadaan itu menggariskan keperluan untuk mempercepat pembaharuan praktikal yang memudahkan perniagaan, khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), untuk berkembang merentasi pasaran ASEAN.
Bagi sektor semikonduktor pula, perbincangan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh daya tahan rantaian bekalan bernilai tinggi dan sensitif masa, termasuk menambah baik kebolehjangkaan di sempadan, mengurangkan gangguan operasi serta menyokong mobiliti bakat bagi mengekalkan peranan ASEAN dalam rangkaian pengeluaran global yang kritikal.
“Mesyuarat menekankan bahawa daya saing rantaian bekalan dan keupayaan menarik pelaburan saling berkait rapat. Data serantau terkini yang dikongsikan Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial Pertubuhan Bangsa Bersatu bagi Asia dan Pasifik (UNESCAP) semasa mesyuarat menunjukkan aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) greenfield ke ASEAN menurun sebanyak 17 peratus, daripada AS$89.5 bilion bagi tempoh suku pertama hingga suku ketiga 2024 kepada AS$74.4 bilion bagi tempoh yang sama pada 2025,” tambah kenyataan itu.
Walaupun demikian, ASEAN terus meraih 29 peratus daripada pengumuman FDI greenfield di rantau Asia Pasifik dan menerima komitmen pelaburan greenfield intra-serantau berjumlah AS$39.8 bilion, bersamaan 36 peratus daripada jumlah keseluruhan.
Ia memberi mesej jelas bahawa ASEAN kekal sebagai destinasi pelaburan sangat menarik, namun keyakinan pelabur bergantung kepada penyelarasan dasar yang lebih kukuh serta pelaksanaan yang lebih konsisten dalam kalangan Negara Anggota ASEAN.
Pada 2026, majlis itu akan menyatukan keutamaan sektor swasta ke dalam satu set syor berstruktur yang memfokuskan pada mempercepatkan kemudahan perdagangan digital, meningkatkan keterlihatan rantaian bekalan dan membolehkan pertukaran data rentas sempadan selain mengukuhkan daya saing ASEAN untuk perdagangan, pengeluaran serta pelaburan.