Sultan Selangor, Tengku Permaisuri berangkat ke Majlis Penutup Tilawah Al-Quran

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menyampaikan hadiah kepada pemenang Qari Tilawah Al- Quran, Muhammad Isyraq Shahruddin/ BERNAMA

SHAH ALAM, 24 Januari – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan berangkat ke Majlis Penutupan Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Negeri Selangor, di sini malam tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • ALAS setuju beri elaun bulanan khas kepada juara tilawah dan hafazan Selangor yang mewakili negeri di peringkat kebangsaan.
  • Jumlah elaun: juara qari/qariah RM800 sebulan selama lapan bulan; juara hafazan mengikut tahap RM300–RM500.
  • Sultan Selangor menyampaikan hadiah termasuk kepingan emas RM10,000 dan tambahan setengah gram emas kepada penerima anugerah.

Keberangkatan tiba baginda berdua di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah disambut Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin serta Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad.

Pada majlis itu, Datuk Mohd Shahzihan dalam sembah ucapannya memaklumkan Akademi Literasi Al-Quran Selangor (ALAS) bersetuju menyalurkan insentif elaun bulanan khas kepada johan tilawah dan hafazan Selangor yang mewakili negeri di peringkat kebangsaan.

Beliau berkata, johan qari dan qariah akan menerima elaun bulanan sebanyak RM800 selama lapan bulan, manakala johan hafazan lelaki dan perempuan pula menerima elaun mengikut tahap iaitu RM300 bagi Tahap Satu, RM400 bagi Tahap Dua dan RM500 bagi Tahap Tiga.

Elaun berkenaan akan dibayar bermula Mei hingga Disember 2026 dan dibiayai sepenuhnya oleh ALAS.

Pada majlis sama, Sultan Sharafuddin berkenan menyampaikan hadiah kepada Peserta Terbaik Keseluruhan Tilawah Al-Quran dan Peserta Terbaik Keseluruhan Hafazan Al-Quran Tahap Satu hingga Tiga Puluh.

Penerima anugerah, Muhammad Isyraq Shahruddin dan Ahmad Faris Iqbal Mohd Roslan masing-masing membawa pulang kepingan emas bernilai RM10,000 serta tambahan setengah gram emas tajaan syarikat swasta.