
KUALA LUMPUR, 23 Januari – Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) menyokong penuh usaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk melaksanakan segera jaminan bank sebagai syarat mandatori kepada semua agensi pelancongan yang menawarkan pakej umrah.
- MATA sokong pelaksanaan jaminan bank mandatori untuk agensi yang tawarkan pakej umrah bagi lindungi jemaah daripada penipuan.
- Jaminan bank dimasukkan sebagai syarat utama pelesenan bawah Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482).
- Kes penipuan meningkat, termasuk penyalahgunaan teknologi dan AI untuk tawarkan pakej murah tanpa penghantaran.
- HU-ITM dan bengkel antarabangsa dijangka perkuat jaringan dan buka peluang pasaran global untuk agensi tempatan.
Presidennya, Datuk Seri Dr. Mohd Khalid Harun, berkata langkah itu merupakan keperluan penting bagi melindungi jemaah daripada risiko penipuan dan salah laku oleh syarikat pelancongan.
Menurut beliau, keperluan jaminan bank itu juga termaktub sebagai syarat utama pelesenan agensi pelancongan, khususnya pengendali pakej umrah di bawah Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482).
“Sebelum ini, pelaksanaan jaminan bank tidak dikuatkuasakan sepenuhnya kerana kami sebagai persatuan industri merayu agar syarat tersebut dilonggarkan. Ketika itu, banyak syarikat pelancongan milik Bumiputera tidak mampu menyediakan jaminan bank.
“Namun, dalam era perkembangan teknologi hari ini, kes penipuan semakin berleluasa. Ada pihak yang menggunakan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI) untuk menawarkan pakej umrah pada harga murah, mengutip bayaran jemaah, tetapi akhirnya gagal menghantar atau membawa pulang jemaah seperti dijanjikan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media Pasaran Pelancongan Antarabangsa Haji & Umrah (HU-ITM), di sini.
Beliau yang juga Presiden Persekutuan Umrah dan Haji ASEAN (AFUH) berkata, penganjuran Bengkel Antarabangsa Umrah dan Pelancongan 2026 oleh HU-ITM juga dilihat sebagai platform strategik untuk memperkukuh jaringan antarabangsa.
Ini terutamanya dalam membuka peluang perniagaan baharu kepada agensi pelancongan tempatan bagi menembusi pasaran global, khususnya Arab Saudi dan Asia.
HU-ITM dianjurkan usaha memperkukuh ekosistem pelancongan Islam global menerusi jerayawara yang bakal merentasi tujuh negara, termasuk Malaysia, Indonesia, Uzbekistan, Maghribi, Turkiye dan Kazakhstan.
Program itu direka sebagai platform yang menghubungkan penyedia perkhidmatan utama dari Arab Saudi dan pasaran antarabangsa secara langsung dengan pemain industri pelancongan tempatan dan serantau, sekali gus memperluaskan kerjasama strategik dalam sektor berkenaan.