
SHAH ALAM, 21 Januari – Pos Malaysia Bhd mencipta sejarah dalam industri logistik negara apabila melancarkan kenderaan autonomi (AV) pertama di Malaysia, sekali gus menandakan permulaan era baharu logistik pintar yang berdaya digital dan lestari.
- Pos Malaysia melancarkan kenderaan autonomi pertama sebagai permulaan era logistik pintar dan lestari.
- Inisiatif dijalankan melalui kerjasama strategik dengan Autonomous Logistic Solution dan agensi berkaitan.
- Fasa awal terhad kepada operasi dalam fasiliti dan laluan pertengahan, tanpa pengurangan pekerjaan.
Inisiatif itu sebahagian daripada agenda transformasi dan inovasi Pos Malaysia melalui kerjasama strategik bersama syarikat Autonomous Logistic Solution (ALS)
Majlis pelancaran AV berkenaan disempurnakan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil yang menyifatkannya sebagai usaha meningkatkan produktiviti dan kecekapan pengendalian mel serta bungkusan di peringkat fasiliti.
“Saya sangat gembira dan berbangga dapat bersama dalam majlis peluncuran serta majlis menandatangani memorandum persefahaman antara Pos Malaysia dan syarikat ALS, yang akan menyediakan penyelesaian kenderaan berautonomi atau autonomous vehicle.
Inisiatif ini akan dilaksanakan melalui proof of concept di fasiliti Pusat Mel Nasional, bertujuan meningkatkan produktiviti serta membantu aspek pengendalian pos dalam fasiliti terlebih dahulu,” katanya pada majlis yang berlangsung di Pusat Mel Nasional Shah Alam.
Menurut beliau, usaha berkenaan bukan dilaksanakan secara bersendirian, sebaliknya melibatkan kerjasama rentas kementerian dan agensi termasuk Kementerian Komunikasi, Kementerian Pengangkutan, institusi universiti serta pemain industri tempatan.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa penggunaan teknologi baharu ini tidak akan mengakibatkan pembuangan pekerja, sebaliknya membuka ruang penstrukturan semula tenaga kerja ke bidang yang lebih bernilai tinggi.
“Saya tidak melihat inisiatif ini akan mengakibatkan pembuangan pekerja. Malah, saya telah memberi isyarat yang sangat jelas kepada pihak Pos Malaysia bahawa tidak boleh berlaku sebarang keadaan yang menyebabkan kehilangan pekerjaan. Prinsip yang sama turut saya sarankan kepada pemilik syarikat media, iaitu tidak boleh berlaku pembuangan besar-besaran hanya semata-mata kerana kita mula memanfaatkan teknologi baharu,” katanya.
Untuk fasa awal, kenderaan autonomi ini hanya digunakan dalam fasiliti dan laluan pertengahan seperti penghantaran dari pusat mel nasional ke pejabat pos utama, sebelum sebarang peluasan dipertimbangkan tertakluk kepada kelulusan Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Pengangkutan Jalan.