
KUALA LUMPUR, 20 Januari – Sumbangan perusahaan Bumiputera kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara masih berada pada tahap rendah, iaitu sekitar 8.1 peratus pada tahun 2020, kata Ahli Parlimen Simpang Renggam, Datuk Seri Hasni Mohammad.
- Sasaran 15 peratus KDNK belum tercapai; perlu strategi transformatif untuk tingkatkan sumbangan perusahaan Bumiputera.
- Cadangan penubuhan Dana Ekuiti Bumiputera negeri dan nasional untuk perluas pemilikan dalam sektor masa depan.
- Keperluan mempersiapkan generasi muda Bumiputera dengan latihan kepimpinan, pemilikan perniagaan dan rangkaian mentor komuniti.
- Majoriti pekerja Bumiputera di sektor tidak formal hadapi risiko tinggi dan memerlukan dasar pembangunan daya tahan pendapatan keluarga.
Beliau berkata, peratusan itu jauh daripada sasaran 15 peratus yang ditetapkan menjelang tahun 2035, sehubungan itu Malaysia memerlukan strategi transformatif bagi memperkukuh penyertaan dan sumbangan perusahaan Bumiputera dalam pertumbuhan ekonomi negara.
Antara strategi yang dicadangkan ialah penubuhan Dana Ekuiti Bumiputera di peringkat negeri dan nasional, serta memperluas pemilikan ekuiti Bumiputera dalam sektor masa depan seperti digital, teknologi hijau, dan agenda Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).
Beliau menekankan bahawa generasi muda Bumiputera perlu dipersiapkan bukan sahaja untuk bekerja dalam sektor berimpak tinggi, tetapi juga dilatih memimpin, memiliki dan membina perniagaan.
“Ini menuntut pendekatan baharu dalam pembangunan bakat, termasuk insentif berbentuk biasiswa endowmen antara generasi, serta rangkaian mentor berasaskan komuniti dan industri bagi mempercepatkan pemindahan ilmu, pengalaman dan peluang,” katanya ketika membahaskan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.
Datuk Seri Hasni turut menegaskan, sebahagian besar pekerja Bumiputera kini masih tertumpu dalam sektor bukan formal, sekali gus berdepan risiko tinggi apabila berlaku kejutan ekonomi.
“Kejutan kecil sahaja sudah mencukupi untuk menjerumuskan sesebuah keluarga kembali ke kancah kemiskinan. Di sinilah dasar mesti bergerak melangkaui bantuan sementara kepada pembangunan daya tahan pendapatan isi rumah,” katanya.