
BEIJING, 19 Januari -Populasi China terus mencatat penyusutan untuk tahun keempat berturut-turut apabila jumlah penduduknya semakin berkurangan pada 2025.
- China alami penyusutan populasi berterusan dengan kadar pertumbuhan semula jadi negatif disebabkan kelahiran menurun dan kematian meningkat.
- Populasi warga emas meningkat pesat; 23% berumur 60 tahun ke atas, menekan struktur demografi dan sistem sokongan sosial.
- Kerajaan perkenal dasar galakan kelahiran termasuk keringanan pendaftaran perkahwinan, subsidi, dan subsidi kos perubatan serta IVF.
Ketua Biro Statistik Kebangsaan China, Kang Yi berkata, jumlah penduduk China pada akhir 2025 ialah 1.40489 bilion orang, berkurangan 3.39 juta berbanding tahun sebelumnya.
Jelas beliau, angka tersebut merangkumi penduduk di 31 wilayah, wilayah autonomi dan perbandaran termasuk anggota tentera aktif, tidak termasuk penduduk Hong Kong, Macau, Taiwan serta warga asing.
Dalam tempoh sama, jumlah kelahiran mencatat penurunan ketara kepada 7.92 juta bayi, paras terendah dalam beberapa dekad, berbanding 9.54 juta kelahiran pada 2024.
Jumlah kematian pula meningkat kepada 11.31 juta orang, menjadikan kadar pertumbuhan semula jadi penduduk berada pada paras negatif.
Kang Yi turut memaklumkan, China sedang berdepan proses penuaan penduduk yang semakin pantas.
“Penduduk berumur 60 tahun ke atas kini berjumlah 323.38 juta orang, merangkumi 23 peratus daripada keseluruhan populasi.
Jumlah penduduk berusia 65 tahun ke atas pula mencecah 223.65 juta orang, bersamaan 15.9 peratus daripada jumlah penduduk negara itu,” katanya dalam satu sidang media.
Walaupun trend penyusutan berterusan sejak 2022, pakar demografi menjangkakan China mungkin menyaksikan peningkatan kecil dan sementara dalam jumlah kelahiran pada tahun akan datang.
Ia susulan langkah kerajaan China pada Mei 2025 yang membenarkan pasangan berkahwin di mana-mana lokasi di seluruh negara, tanpa terikat dengan tempat kediaman asal, sekali gus memudahkan proses perkahwinan.
Selain itu, kerajaan China turut memperuntukkan anggaran 180 bilion yuan pada 2026 untuk pelbagai insentif galakan kelahiran, termasuk subsidi kanak-kanak peringkat nasional.
Antara langkah utama ialah komitmen memastikan wanita tidak menanggung sebarang kos perubatan sepanjang kehamilan.
Ia termasuk rawatan kesuburan seperti persenyawaan in vitro (IVF) yang akan ditanggung sepenuhnya oleh skim insurans. -REUTERS