Bapa lemas selepas selamatkan anak di Sungai Lebir

Foto RTM

GUA MUSANG, 18 Januari– Mayat seorang lelaki yang dikhuatiri lemas selepas menyelamatkan anaknya di Sungai Lebir dekat Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) KESEDAR Lebir di Gua Musang, Kelantan ditemukan oleh pasukan mencari dan menyelamat, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mayat lelaki yang menyelamatkan anaknya ditemui hampir 20 jam selepas dilaporkan hilang dihanyutkan arus sungai.
  • Operasi SAR melibatkan PDRM, JBPM dan APM digerakkan awal dan menemui mangsa tiga meter dari lokasi kejadian.
  • Anak mangsa mengalami trauma, sering menangis dan teringat kejadian selepas bapanya tenggelam menyelamatkannya.

Selepas hampir 20 jam hilang dihanyutkan arus sungai, mangsa, Mohamad Fakarudin Abdul Halim@Awang, 40 tahun ditemukan pada jarak tiga meter dari lokasi mangsa dilaporkan tenggelam dan hilang.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) telah digerakkan seawal pukul 9.30 pagi hari ini.

Sementara itu, isteri mangsa, Nor Asikin Abu Bakar berkata, sehingga kini anak berusia 10 tahun kerap menangis dan teringat kejadian yang menimpa arwah suaminya.

“Menurut saksi, anak kami terjatuh dan tenggelam. Suami saya terus terjun untuk menyelamatkan anak. Ketika itu dia sudah beberapa kali tenggelam timbul, namun sempat mengangkat dan melontar anak ke tebing.”

“Selepas itu, dia terus tenggelam. Anak kami mengalami trauma dan sering terjaga sambil menangis memanggil bapanya. Selepas solat Maghrib, saya minta dia berdoa,” kata Nor Asikin Abu Bakar, isteri mangsa.

“Saya nampak mangsa tenggelam timbul dan mendengar dia meminta tolong. Saya terus pergi dan berjaya menyelamatkan anaknya yang hampir dihanyutkan arus sungai,” Muhammad Lohman, saksi.

Terdahulu, seorang bapa dikhuatiri lemas selepas berjaya menyelamatkan anak yang hampir lemas di Sungai Lebir, petang Sabtu (17 Januari).

Mangsa, berjaya menyelamatkan anaknya yang hampir lemas ketika mandi di sungai itu sebelum dia sendiri tenggelam dan dihanyutkan arus deras.

Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan I Nik Mohd. Fakri Md. Nawi berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.04 petang sebelum lapan anggota bersama dua jentera digerakkan ke lokasi kejadian, kira-kira 64 kilometer dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gua Musang.