
KUALA LUMPUR, 18 Januari –Empat Rang Undang-Undang (RUU) penting dijangka bakal dibentang dan dibahas dalam sidang Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-15.
- RUU ombudsman akan dibentang untuk memperkukuh mekanisme penyiasatan aduan awam terhadap agensi kerajaan.
- RUU kebebasan maklumat dijangka memperluas akses awam kepada dokumen dan maklumat kerajaan.
- RUU memisahkan jawatan pendakwa raya dan peguam negara bagi memperkukuh pemisahan fungsi perundangan.
- RUU pindaan perlembagaan mencadangkan had tempoh Perdana Menteri kepada dua penggal atau 10 tahun.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata, kesemua RUU tersebut akan mula dibahas secara berperingkat.
Jelasnya, turut menjadi tumpuan pada sidang kali ini adalah Sesi Soal Jawab Perdana Menteri (PMQT) yang akan bermula pada Selasa.
“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan gunakan peluang ini untuk menjawab beberapa perkara mengenai ekonomi, sosial politik dan memang sesi PMQT pertama itu sangat dinanti-nantikan.
“Dalam sidang ini juga, PM ada umumkan empat RUU penting kita bawa RUU ombudsman, RUU kebebasan maklumat, RUU untuk memisahkan jawatan pendakwa raya dan peguam negara.
“Serta satu RUU pindaan perlembagaan untuk mengehadkan tempoh bagi Perdana Menteri ke dua penggal ataupun 10 tahun. Jadi, bukan semua akan dibentang serentak, ia akan satu per satu,” katanya kepada pemberita selepas Perasmian Kejohanan Karom Beregu Terbuka Piala YB Menteri Komunikasi di ibu negara.