Pengunduran pasukan Kurdish buka laluan tentera Syria masuk kawasan timur

FOTO AFP

ALEPPO 17 Januari – Tentera Syria pada Sabtu memaklumkan pasukannya mula memasuki kawasan di timur bandar Aleppo selepas pasukan Kurdish bersetuju untuk berundur dari wilayah itu susulan pertempuran baru-baru ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tentera Syria mula memasuki kawasan timur Aleppo, termasuk Deir Hafer, selepas pasukan Kurdish bersetuju berundur.
  • Kerajaan menggesa orang awam menjauhi kawasan operasi untuk pembersihan periuk api dan saki baki bahan letupan.
  • Presiden Ahmed al-Sharaa mengisytiharkan bahasa Kurdish sebagai bahasa kebangsaan sebagai isyarat muhibah kepada komuniti Kurdish.

Dalam satu kenyataan yang disiarkan televisyen kerajaan, tentera Syria berkata pasukannya “mula memasuki kawasan Furat barat, bermula dengan bandar Deir Hafer”, selepas pasukan Kurdish bersetuju berundur pada pagi Sabtu.

Seorang wartawan AFP menyaksikan pasukan tentera mara ke kawasan tersebut, termasuk dengan kereta kebal.

Dalam kenyataan sama, pihak tentera menggesa orang awam supaya tidak memasuki kawasan operasi sehingga kawasan itu berjaya diamankan dan dibersihkan daripada periuk api serta saki-baki bahan letupan peperangan.

Selepas mengusir pasukan Kurdish dari bandar Aleppo minggu lalu berikutan pertempuran berdarah, tentera Syria mengerahkan bala bantuan berhampiran Deir Hafer dan mengarahkan Pasukan Demokratik Syria (SDF) berundur dari kawasan antara bandar itu dan Sungai Euphrates, kira-kira 30 kilometer ke arah timur.

Pada Jumaat, pemimpin Kurdish, Mazloum Abdi, menyatakan komitmen untuk menarik balik pasukan SDF yang disokong Amerika Syarikat pada pagi Sabtu ke arah penempatan semula di kawasan timur Sungai Furat, susulan seruan daripada negara sahabat dan pengantara.

Kementerian Pertahanan Syria menyambut baik pengumuman itu dan memaklumkan bahawa pasukan tentera kerajaan akan dikerahkan ke kawasan berkenaan selepas pengunduran SDF.

Dalam beberapa hari kebelakangan ini, tentera Syria menggesa penduduk awam meninggalkan kawasan Deir Hafer, dengan sekurang-kurangnya 4,000 orang dilaporkan telah berpindah menurut pihak berkuasa Syria.

Sementara itu, Presiden Syria, Ahmed al-Sharaa, pada Jumaat mengeluarkan dekri mengisytiharkan bahasa Kurdish sebagai “bahasa kebangsaan”, satu langkah yang dilihat sebagai isyarat muhibah terhadap komuniti minoriti itu selepas keganasan baru-baru ini.

Kerajaan Syria kini berusaha memperluaskan penguasaannya ke seluruh negara selepas kejatuhan bekas pemimpin lama, Bashar al-Assad, pada akhir 2024.

Kemajuan pelaksanaan perjanjian Mac lalu untuk mengintegrasikan pentadbiran autonomi de facto Kurdish di utara Syria ke dalam struktur negara dilaporkan terbantut.

Namun, pengumuman Sharaa pada Jumaat itu merupakan pengiktirafan rasmi pertama terhadap hak kebangsaan Kurdish sejak kemerdekaan Syria pada 1946.

Dekri tersebut menyatakan masyarakat Kurdish adalah “bahagian penting dan tidak terpisah” daripada Syria, selepas berdekad-dekad mengalami peminggiran dan penindasan di bawah pemerintahan terdahulu.

Ia juga membenarkan bahasa Kurdish dijadikan bahasa kebangsaan yang boleh diajar di sekolah awam di kawasan yang mempunyai populasi komuniti tersebut yang besar.

Ketika ini, pasukan Kurdish menguasai kawasan luas di utara dan timur laut Syria yang kaya dengan sumber minyak, kebanyakannya dirampas semasa perang saudara Syria dan pertempuran menentang kumpulan ISIS sejak sedekad lalu.-AFP

Majlis Konvokesyen INFRA rai, tauliah 179 graduan

Artikel Tajaan

TEMAN TEKUN Sabah salur RM25.17 juta sepanjang 2025, perkasa usahawan tempatan

Artikel Tajaan