Tarif 25% AS beri impak terhad kepada Malaysia – Penganalisis

DONALD TRUMP / FOTO AFP

KUALA LUMPUR, 17 Januari – Pengumuman Amerika Syarikat (AS) untuk mengenakan tarif 25 peratus ke atas negara yang menjalankan perniagaan dengan Iran dijangka memberi impak yang terhad kepada Malaysia.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tarif 25% AS dijangka memberi impak terhad kepada Malaysia kerana pendedahan perdagangan terhadap Iran adalah minimum.
  • Kesan sebenar bergantung pada sama ada tarif melibatkan semua produk atau hanya produk terpilih.
  • Jika sektor yang terlibat bukan kritikal, impak terhadap perdagangan dan pelaburan Malaysia mungkin minimum.

Penganalisis Ekonomi, Dr Anthony Dass berkata, langkah itu tidak akan memberi kesan ketara susulan pendedahan perdagangan Malaysia terhadap Iran adalah minimum.

“Iran merupakan rakan dagang yang kecil bagi Malaysia jadi daripada segi impaknya tarif 25 peratus mungkin tidak terlalu signifikan.

“Selain itu, adakah tarif ini melibatkan semua produk atau hanya produk terpilih? Itu masih belum diketahui. Presiden AS, Donald Trump hanya menyebut 25 peratus sahaja. Jadi ini yang kita perlu lihat semula.

“Malah, mungkin produk yang dieksport ke Iran langsung tidak dikenakan tarif. Jadi, impaknya dijangka kecil,” katanya kepada pemberita RTM.

Beliau berpandangan, pengumuman itu juga tidak akan menjejaskan sentimen pasaran dan keyakinan pelabur dengan operasi perniagaan masih berjalan seperti biasa.

Mengulas lanjut mengenai sektor perdagangan, beliau berkata, kesan tarif berkenaan juga bergantung kepada kepentingan sektor tertentu dalam eksport Malaysia ke Iran.

“Jika sektor itu bukan kritikal, impaknya mungkin minimum. Tetapi jika ia sektor kritikal, kita perlu menilai sejauh mana pendedahan Malaysia terhadap Iran. Barulah kita dapat menilai risiko sebenar terhadap perdagangan dan pelaburan,” tambahnya.

Iran merupakan rakan dagang ketujuh terbesar Malaysia di Asia Barat, dengan jumlah dagangan bernilai RM2.6 bilion (AS$570 juta) pada 2024, meningkat 24.6 peratus berbanding 2023.

Sebelum ini, Trump mengumumkan Washington akan mengenakan tarif 25 peratus ke negara yang menjalankan perniagaan dengan Iran.