Hafiz Nafiah pertaruh ‘Mak’, filem kedua sarat konflik dan emosi

Filem Mak akan ditayangkan di pawagam seluruh negara mulai 22 Januari ini

KUALA LUMPUR, 14 Januari – Pengarah Hafiz Nafiah mempertaruhkan naskhah keduanya berjudul Mak, sebuah filem dramatik berat yang menyentuh isu jenayah terancang serta penderitaan keluarga dari sudut kemanusiaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Filem kedua Hafiz Nafiah berjudul Mak mengangkat tema pengorbanan ibu dan dilema moral.
  • Plot berkisar Aman terjerumus sindiket pemerdagangan manusia dan bersembunyi selepas dikejar polis.
  • Konflik puncak apabila adik angkat Aman dibunuh, mendorongnya menuntut keadilan untuk melindungi ibu.
  • Pelakon utama termasuk Datuk Fauziah Nawi, Azman Ahmad, Megat Sharizal, Izzy Reef, Dina Allysha dan Iman Darwisy.

Diterbitkan oleh AA Success Pictures Sdn Bhd dengan kerjasama Awal Muzik, filem tersebut menampilkan penerbitnya, Azman Ahmad, sebagai pelakon utama sekali gus menandakan kemunculannya semula di hadapan kamera.

Berlatarbelakangkan sebuah kampung di Kedah, Mak mengisahkan Aman yang terheret dalam sindiket pemerdagangan manusia diketuai Edy, sehingga memaksa beliau bersembunyi di hutan selepas diburu polis.

Konflik memuncak apabila adik angkatnya dibunuh, mencetuskan tekad Aman menuntut keadilan demi melindungi ibunya.

Datuk Fauziah Nawi memegang watak sebagai Mak

Filem tersebut dibintangi Datuk Fauziah Nawi sebagai Mak, bersama Megat Sharizal, Izzy Reef, Dina Allysha dan Iman Darwisy.

Mengangkat tema pengorbanan ibu, dilema moral dan harga sebuah keadilan, Mak menjanjikan pengalaman sinematik yang sarat emosi dan penuh ketegangan dan boleh disaksikan di pawagam seluruh negara mulai 22 Januari ini.