RTM komited hasilkan kandungan berkualiti dan berimpak positif

Kandungan relevan dan memberi inspirasi menjadi fokus bagi tahun 2026 / RTM

KUALA LUMPUR, 13 Januari – Radio Televisyen Malaysia (RTM) menekankan komitmen untuk menghasilkan program televisyen yang bukan sahaja menghiburkan, tetapi juga memberi inspirasi dan meninggalkan kesan mendalam kepada penonton bagi tahun 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • RTM menekankan kandungan relevan, dekat dengan penonton dan mempunyai elemen feel good.
  • Perolehan Fasa 1 membuka peluang kepada pembekal tempatan menghantar cadangan kreatif.
  • RTM menawarkan terma kompetitif dan sokongan untuk pertumbuhan industri penyiaran tempatan.

Dengan perolehan Fasa 1 kini dibuka, RTM membuka peluang kepada pembekal tempatan untuk membawa idea kreatif dan kandungan yang relevan dengan masyarakat Malaysia.

Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman berkata, sesi perbincangan bersama pembekal tempatan berjalan dengan dinamik.

Beliau menekankan bahawa kandungan yang dihasilkan harus relevan, dekat dengan penonton dan mempunyai faktor ‘feel good‘, sambil memberi inspirasi dan impak positif kepada penonton.

“Program-program di RTM bukan sahaja harus berkualiti tinggi tetapi juga memberi inspirasi. Selain menghiburkan, ia perlu meninggalkan impak dan nilai pemikiran di hati penonton,” katanya.

Beliau menambah, pembekal telah bersedia untuk menghantar cadangan kreatif mereka yang akan dipertimbangkan dalam proses perolehan.

Perolehan ini merangkumi program untuk TV OKEY, Saluran Sukan dan Saluran Berita Ehwal Semasa (BES) termasuk telefilem, majalah, dokumentari, dokumentari khas dan kapsul.

RTM menawarkan terma dan syarat kompetitif, tempoh pembayaran lebih baik dan kerjasama yang menyokong pertumbuhan industri tempatan.

Inisiatif ini mencerminkan usaha RTM untuk mengukuhkan jenama penyiaran awam Malaysia dengan penglibatan penerbit tempatan yang kreatif dan inovatif.

Datuk Suhaimi menegaskan bahawa rakyat boleh menjangkakan lebih banyak kandungan menarik sepanjang tahun dengan Town Hall kedua dijadualkan pada bulan Jun bagi memperluas lagi peluang dan perbincangan.

“Selain daripada kandungan yang menghiburkan, kita mahu setiap program memberikan sesuatu yang meninggalkan kesan dan membangkitkan pemikiran,” tambah beliau.

Pelawaan pembekalan terbuka kepada semua syarikat tempatan berdaftar dengan Kementerian Kewangan Malaysia (MoF).

Pendaftaran dan penghantaran dokumen Request for Proposal (RFP) boleh diakses melalui etvcms.rtm.gov.my, portal rasmi RTM dan portal Kementerian Komunikasi dari 8 Januari hingga 6 Februari 2026.

Makan Sihat, Hidup Sihat: Bagaimana Ajinomoto (Malaysia) Berhad Membentuk Gaya Hidup Lebih Sihat di Malaysia

Artikel Tajaan