Kekayaan tidak wajar jadi ‘akidah baharu’ umat Islam

Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah, yang juga Pengerusi Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam Malaysia (MKI), berkenan berangkat ke Mesyuarat MKI Ke-74 hari ini / BERNAMA

KUALA LUMPUR, 13 Januari -Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menzahirkan kebimbangan terhadap segelintir umat Islam yang menjadikan kekayaan kebendaan sebagai pegangan hidup sehingga mengabaikan nilai etika dan kemanusiaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Segelintir umat Islam menjadikan kekayaan kebendaan sebagai pegangan sehingga mengabaikan nilai etika dan kemanusiaan.
  • Persaingan tidak sihat, sogokan dan fitnah meningkat apabila integriti dikorbankan demi jawatan, harta dan kuasa.
  • Jawatan dan kuasa mesti disertai kekuatan iman dan takwa agar tidak menjejaskan ketauhidan individu.

Baginda bertitah, kecenderungan itu mendorong persaingan tidak sihat serta perbuatan yang bercanggah dengan sifat keinsanan.

Sebagai Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam Malaysia, Sultan Nazrin bertitah, umat Islam hari ini seolah-olah hilang kompas kehidupan apabila terperangkap dengan budaya mengejar harta, jawatan dan kuasa.

“Integriti dikorbankan dalam perlumbaan mengejar kekayaan kebendaan. Manusia bertambah gelojoh untuk mendapatkan jawatan dan kuasa.

Budaya sogokan digunakan untuk meraih sokongan, manakala fitnah dijadikan alat menjatuhkan lawan,” titah Baginda.

Baginda bertitah demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam Malaysia Kali Ke-74 di ibu negara.

Sultan Nazrin turut mengingatkan bahawa jawatan dan kuasa yang dimiliki perlu disertai kekuatan iman dan takwa agar tidak menjejaskan ketauhidan seseorang insan.

Mesyuarat itu merupakan yang ketiga dipengerusikan oleh Baginda sejak diperkenankan oleh Majlis Raja-Raja pada 10 Mac 2024, sebelum tamat tempoh amanah pada 9 Mac tahun ini.

Turut hadir, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; serta Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee.

Dalam mesyuarat sama, Baginda menzahirkan penghargaan kepada Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar atas sumbangan dan khidmat beliau dari 3 Disember 2022 hingga 16 Disember 2025.

Baginda turut merakamkan ucapan tahniah kepada Datuk Dr Zulkifli Hasan dan Marhamah Rosli atas pelantikan sebagai Menteri serta Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berkuat kuasa 17 Disember lalu.

Majlis Konvokesyen INFRA rai, tauliah 179 graduan

Artikel Tajaan

TEMAN TEKUN Sabah salur RM25.17 juta sepanjang 2025, perkasa usahawan tempatan

Artikel Tajaan