35 banduan Penjara Kajang bergelar huffaz al-Quran

FOTO HIASAN / BERNAMA

PUTRAJAYA, 8 Januari — Seramai 35 banduan di Penjara Kajang berjaya bergelar huffaz al-Quran ketika menjalani tempoh hukuman, hasil pelaksanaan modul pemulihan dan pendidikan yang disediakan Jabatan Penjara Malaysia.

RINGKASAN BERITA AI
  • 35 banduan Penjara Kajang berjaya menjadi huffaz al-Quran melalui modul pemulihan dan pendidikan Jabatan Penjara.
  • Pencapaian itu menunjukkan keberkesanan program pemulihan meskipun banduan disabitkan jenayah serius.
  • Modul mengubah hala tuju banduan dari latar belakang jenayah kepada pencapaian agama dan disiplin tinggi.
  • Arahan diberi agar modul huffaz diperluaskan ke 41 penjara di seluruh negara untuk hasil berstruktur.
  • Jabatan Penjara sediakan 22 rumah perantara bagi bantu bekas banduan kembali ke masyarakat secara berperingkat.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata pencapaian itu membuktikan keberkesanan program pemulihan penjara, meskipun banduan terbabit disabitkan dengan pelbagai jenayah serius.

Beliau berkata, modul pemulihan yang dilaksanakan berjaya mengubah hala tuju kehidupan banduan daripada latar belakang jenayah kepada pencapaian yang membanggakan.

“Bayangkan individu yang melalui proses keadilan dan berakhir di penjara, namun melalui modul pemulihan ini, mereka mampu menjadi huffaz.

“Kesalahan yang dilakukan pula melibatkan jenayah indeks dan bukannya kesalahan kecil,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Amanat Kementerian Dalam Negeri 2026 di sini.

Sehubungan itu, Datuk Seri Saifuddin berkata beliau telah mengarahkan Ketua Pengarah Penjara supaya modul berkenaan diperluaskan ke penjara lain di seluruh negara dan tidak tertumpu di Penjara Kajang sahaja.

Menurut beliau, ketika ini terdapat 41 buah penjara di seluruh negara dan peluasan modul huffaz secara tersusun berpotensi melahirkan lebih ramai banduan berkemahiran serta berdisiplin tinggi.

Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Seri Saifuddin memaklumkan Jabatan Penjara Malaysia turut menyediakan 22 rumah perantara bagi membantu banduan yang telah tamat tempoh hukuman, khususnya mereka yang masih belum diterima semula oleh keluarga atau komuniti.

Menurut beliau, rumah perantara berkenaan berfungsi sebagai penempatan sementara, membolehkan bekas banduan bekerja pada waktu siang dan kembali ke kediaman tersebut pada sebelah malam sehingga mereka bersedia untuk kembali sepenuhnya ke dalam masyarakat.