ALOR SETAR, 30 Disember– Polis Kedah merampas dadah disyaki bunga ganja dengan anggaran berat 1,047 gram selepas menahan seorang wanita di tepi jalan Kuala Kedah pada Ahad lalu.
- Polis Kedah rampas 1.047 kilogram bunga ganja bernilai anggaran RM33,000.
- Seorang wanita berusia 27 tahun ditahan dan motosikal miliknya turut dirampas.
- Suspek direman tujuh hari; kes disiasat bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Syed Basri Syed Ali menerusi kenyataan hari ini berkata dadah yang diletakkan di dalam satu pek plastik lut sinar itu dianggarkan bernilai RM33,000 selain motosikal milik suspek turut dirampas.
“Ujian saringan awal air kencing ke atas suspek berusia 27 tahun itu didapati negatif.
“Namun hasil semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai beberapa rekod kesalahan terdahulu berkaitan dadah,” kata kenyataan itu.
Suspek telah direman selama tujuh hari bermula 28 Disember hingga 3 Januari 2026 bagi membantu siasatan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.