COP 30 perlu jelas dalam mengekang peningkatan suhu global

KUALA LUMPUR, 27 Oktober – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menegaskan bahawa Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (COP 30) perlu menunjukkan kemajuan yang jelas dalam usaha dunia mengekang peningkatan suhu global kepada bawah 1.5 darjah Celsius, di samping memastikan negara-negara yang paling terkesan menerima keadilan iklim yang sewajarnya.

RINGKASAN BERITA AI
  • COP30 mesti tunjuk kemajuan jelas untuk mengekang peningkatan suhu global bawah 1.5°C.
  • Perlu pengukuhan NDC agar pelepasan dikurangkan lebih mendalam dan segera.
  • Percepatan peralihan daripada bahan api fosil kepada tenaga boleh diperbaharui diperlukan.
  • COP30 harus tutup jurang tindakan dengan peningkatan adaptasi, mitigasi dan keadilan pembiayaan.
  • Perhatian khas bagi negara paling terkesan memastikan keadilan iklim dan sokongan membina ketahanan.

Menurut Setiausaha Agungnya, António Guterres, negara-negara ASEAN kini berdepan kesan perubahan iklim yang semakin ketara, yang menjejaskan sektor makanan, kesihatan dan kestabilan ekonomi serantau.

“Di seluruh ASEAN, banjir, kemarau, kenaikan paras laut dan jerebu sedang mengancam keselamatan makanan, kesihatan dan kestabilan ekonomi.

“Kita memerlukan Sumbangan Ditentukan Negara (NDC) yang lebih tegas untuk mengurangkan pelepasan dengan lebih mendalam serta mempercepat peralihan daripada bahan api fosil kepada tenaga boleh diperbaharui”, katanya dalam ucapan Sidang Kemuncak ASEAN–PBB ke-15 di sini, hari ini.

Tambahnya, COP30 di Brazil perlu menjadi platform untuk menutup jurang tindakan iklim, dengan peningkatan adaptasi, mitigasi dan keadilan pembiayaan iklim.

COP 30 dijangka akan berlangsung pada November 2025 di Brazil.

Ia menghimpunkan pemimpin dunia untuk merangka tindakan bersama yang memberi manfaat kepada manusia, memelihara alam sekitar dan menangani perubahan iklim.