Melaka sambut baik Belanjawan 2026, banyak projek negeri diluluskan

MELAKA, 10 Oktober -Kerajaan negeri Melaka menyambut baik Belanjawan MADANI 2026 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kelulusan pembinaan dan naik taraf jalan di Alor Gajah memberi manfaat langsung kepada penduduk setempat.
  • Pembinaan dan penambahbaikan sekolah serta asrama termasuk SMK Ghafar Baba dan SMK Tinggi Perempuan Melaka Tengah diluluskan.
  • Peruntukan naik taraf Muzium Samudera 1 dan insentif pelepasan cukai pelancongan sehingga RM1,000 merancakkan industri pelancongan negeri.
  • Projek pertanian (rock melon, kerang, udang galah) dan penggantian paip usang sepanjang 820 km melibatkan Melaka.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, banyak perkara yang dibentangkan memberi manfaat langsung kepada rakyat di negeri itu.

“Antaranya termasuk pembinaan jalan baharu dan naik taraf jalan di Alor Gajah, selain pembinaan semula bangunan serta penambahbaikan sekolah seperti SMK Ghafar Baba dan asrama SMK Tinggi Perempuan Melaka Tengah.

Turut diberi perhatian ialah pembinaan Kompleks Sekolah Batu Berendam, SMK Rumbia, Kompleks Sekolah Anjung Gapam di Jasin serta sebuah tabika baharu di Kampung Lendu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, dalam sektor pelancongan, peruntukan naik taraf Muzium Samudera 1 diluluskan.

Manakala insentif pelepasan cukai sehingga RM1,000 bagi pelancongan domestik diyakini merancakkan industri pelancongan negeri.

“Sektor pertanian negeri juga menerima manfaat melalui projek rock melon, kerang dan udang galah yang akan dilaksanakan di Melaka.

Selain itu, projek penggantian paip usang sepanjang lebih 820 kilometer turut membabitkan negeri berkenaan, ujar beliau lagi.

Menurut Datuk Seri Ab Rauf, Belanjawan MADANI 2026 akan diambil kira secara inklusif dalam penyediaan Bajet 2026 Negeri Melaka yang dijangka dibentangkan di Persidangan Dewan Undangan Negeri hujung November nanti.