Wednesday, 1 February 2023

 

700 pemain bakal berentap di Kejohanan Boling All-Stars Junior Antarabangsa ke-22

  • Published in Sukan

PETALING JAYA, 9 Disember-Kejohanan Boling All-Stars Junior Antarabangsa edisi ke-22 akan kembali berlangsung di Sunway Mega Lanes, Sunway Pyramid bermula 12 hingga 23 Disember ini.

Lebih 700 pemain bawah 22 tahun dari 12 negara termasuk beberapa jaguh dunia dan Asia akan berentap.

Pengurus Besar Sunway Mega Lanes, Tan Yoke Chiang, berkata kejohanan tersebut menawarkan hadiah wang tunai kira-kira RM200,000 dalam saingan 10 kategori termasuk ganjaran RM1,000 untuk permainan sempurna harian.

(Pengurus Besar Sunway Mega Lanes Tan Yoke Chiang / FOTO RTM)

Di samping pemain negara, katanya, kejohanan tersebut telah menerima penyertaan dari Amerika Syarikat, Jepun, Korea Selatan, Australia, Taiwan, Guam, Brunei, Indonesia, Filipina, Singapura dan Thailand.

"Saya berharap agar pemain negara dapat mengambil peluang di kejohanan ini bagi meningkatkan prestasi permainan dan memberi cabaran kepada pemain-pemain boling antarabangsa", katanya ketika ditemui media.

Pemain negara seperti Nur Syazwani Sahar, Gillian Lim, Nora Lyana Nastasia, Muhammad Hafiz Zainuddin dan Nevern Nataneel antara yang bakal menggalas cabaran negara dan senarai muktamad hanya akan diumumkan esok.