Wednesday, 1 February 2023

 

Badan induk sukan digesa semak semula akaun bank- MOM

  • Published in Sukan

(FOTO HIASAN)

PETALING JAYA, 7 Disember- Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria menggesa semua persatuan sukan melakukan semakan semula akaun bank masing-masing bagi memastikan akauntabiliti serta ketelusan tadbir urus kewangan terjamin.

Beliau berkata ini bagi memastikan urusan pengeluaran wang badan induk sukan negara dilakukan secara telus tanpa sebarang kecuaian atau keraguan pihak yang terlibat dalam menguruskan kewangan akaun persatuan.

“ Ini adalah amaran kepada semua persatuan sukan supaya segera menyemak semula kedudukan kewangan masing-masing bagi memastikan mereka yang bertanggungjawab menjaga akaun persatuan menjalankan amanah dengan baik selepas apa terjadi di Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) yang menghadapi masalah kes pecah amanah.

“Jangan ambil mudah sebab ia melibatkan duit rakyat dan penaja, kalau tidak letak orang profesional akan berlaku perkara sedemikian rupa,” katanya kepada pemberita selepas pengumuman barisan atlet negara yang tercalon dalam Top 5 kategori Anugerah Ikon Sukan (AIS) Harian Metro, di sini, hari ini.

Mohamad Norza turut menyarankan badan induk sukan untuk melantik individu mempunyai latar belakang perakaunan untuk menyandang jawatan berkaitan urusan mengendalikan akaun persatuan bagi menjamin tanggungjawab yang diberikan akan digalas dengan sebaiknya.

“Kita harus menerapkan nilai profesional dalam pentadbiran kita untuk lebih berjaya dalam industri sukan di mana kita boleh laksanakan sistem perakaunan mudah...laburkan RM2,000 atau RM3,000 untuk memperoleh perisian perakaunan untuk bantu persatuan mengurus kewangan dengan lebih telus dan teratur,” katanya.

Kelmarin, KRM membuat laporan polis berhubung kes pecah amanah disyaki berlaku dalam pengendalian akaun bank badan induk itu yang belum diketahui jumlah kerugian.

Kejadian pecah amanah itu disyaki dilakukan seorang daripada kakitangannya yang tidak dapat dihubungi dan dikesan. -BERNAMA


(Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria )