Wednesday, 28 September 2022

KUFC catat kemenangan bergaya, benam Selangor FC II 4-0

  • Published in Sukan

(FOTO BERNAMA)

KOTA BHARU, 19 Ogos - Kelantan United FC (KUFC) mencatat kemenangan bergaya apabila membenam Selangor FC II 4-0, dalam aksi tunggal Liga Premier di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bahru, petang tadi.

KUFC membuka jaringan seawal minit ke-13 menerusi pemain import dari Ghana Julius Ofori, yang bijak menolak masuk bola hasil hantaran jauh rakan sepasukan dalam kotak penalti.

Selang lima minit kemudian, Julius Ofori menambah jaringan tuan rumah menerusi rembatan dari luar kotak penalti, menewaskan penjaga gol Selangor FC ll Sikh Izham Nazrel.

Kelebihan dua gol itu memberi keyakinan kepada barisan pemain KUFC untuk terus menguasai perlawanan, dengan hantaran bola pendek memaksa pasukan pelawat lebih banyak bertahan sehingga tamat aksi separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, KUFC hampir membolosi gawang Selangor FC II buat kali ketiga pada minit ke-52, namun percubaan pemain import Njoku Jacob dalam kotak penalti hanya singgah di tiang gol lawan.


(Pemain Kelantan United Mohamad Amirul Shefik Che Soh (dua, kanan) diasak pemain Selangor II Abdul Rahman
Daud (kanan) pada aksi perlawanan Liga Premier di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV hari ini/ Foto BERNAMA)

Ketinggalan dua gol, Selangor FC II berusaha mencipta gerakan bagi mengurangkan defisit jaringan namun percubaan mereka membolosi gawang tuan rumah tidak berhasil.

Sebaliknya, Njoku Jacob menambah duka pasukan pelawat apabila menjaringkan gol ketiga KUFC pada minit ke-80, menerusi rembatan deras dalam kotak penalti selepas menerima hantaran Nik Akif Syahiran Nik Mat.

Pemain gantian KUFC Muhammad Asraff Aliffuddin melengkapkan kemenangan bergaya tuan rumah apabila menjaringkan gol keempat pada minit ke-88.

Kemenangan itu sekali gus menyaksikan KUFC sehingga kini mengumpulkan 24 mata untuk berada di kedudukan kelima hasil enam kemenangan, enam seri dan tewas empat kali. -BERNAMA