Sunday, 26 March 2023

Penggunaan kanabis dalam perubatan perlu kajian mendalam -PM

  • Published in Semasa

(Kanabis/FOTO FAIL BERNAMA)

KUALA LUMPUR, 19 Mac- Kebenaran penggunaan kanabis bagi tujuan perubatan dalam negara memerlukan penelitian dan perbincangan yang mendalam sebelum dilaksanakan sepenuhnya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kajian terperinci termasuk aspek kawalan penggunaan bahan berkenaan pada masa akan datang.

“Sabar, kita harus teliti betul-betul, kena ingat sebaik sahaja kita halalkan (kanabis) dengan hujah kuat seperti perubatan dan keperluan, itu nak kawal susah.

"Saya tidak kata saya ada pandangan keras dalam bidang ini, saya sudah cadang supaya kita buka ruang dan bincang betul-betul implikasinya.

“Bagi orang yang nak cadangkan atau menolak, mari kita lihat secara keseluruhan dulu implikasi dan kemudian ambil keputusan sama ada nak halalkan sebahagian atau terus dengan keadaan sekarang,” katanya.

Anwar berkata ia mengambil kira jumlah penagih dalam kalangan anak muda termasuk di luar bandar yang semakin meningkat.

Beliau berkata demikian, ketika menjawab soalan seorang peserta dalam program dialog anak muda ‘Temu Anwar’ di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini.

(Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa Program Dialog Anak Muda
‘Temu Anwar’ di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur)

Tambahnya, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay turut memberi gambaran berkaitan permasalahan serius penyalahgunaan dadah yang sukar ditangani kini.

Memetik laporan Benama, Thailand merupakan negara Asia Tenggara pertama yang membenarkan penggunaan kanabis bagi tujuan perubatan. 

Ogos lalu, Menteri Kesihatan ketika itu Khairy Jamaluddin dalam lawatan kerja ke Thailand, turut meninjau potensi penggunaan kanabis bagi tujuan perubatan selain melihat kerangka undang-undang yang berkaitan dengannya.