Pelantikan Hannah Yeoh mampu beri nafas baharu dalam industri sukan
- Written by Media Baharu
- Published in Semasa

KUALA LUMPUR, 3 Disember- Pemilihan Hannah Yeoh sebagai Menteri Belia Dan Sukan dilihat mampu memberi nafas baharu bagi pembangunan sukan di Malaysia.
Pelantikan beliau yang merupakan menteri wanita kedua untuk jawatan tersebut mendapat reaksi positif dari beberapa persatuan-persatuan sukan tanah air.
Menurut Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail, pihaknya bersedia untuk berkerjasama di bawah pimpinan Hannah Yeoh sekali gus dalam merencana pelbagai program untuk atlet negara.
"Kami di MSN dan khususnya komuniti sukan amat menantikan kepimpinan yang akan diterajui menteri berwajah baru iaitu seorang wanita. Jadi, kita bersemangat dalam memperjuangkan program-program latihan yang lebih berkesan kepada atlet negara," kata Shapawi kepada pemberita RTM.
Sementara itu, Presiden Konfederasi Hoki Malaysia, Datuk Seri Subahan Kamal optimis, kehadiran Hannah mampu membawa sesuatu yang berbeza untuk sukan di negara ini.
"Saya yakin beliau seorang yang kompeten, mampu memberikan satu nafas baharu, anjakan positif kepada sukan.
Tidak semestinya menteri sukan ini harus lelaki tapi ini satu penukaran paradigma yang bagus yang memberikan penghormatan kepada golongan wanita," kata Subahan kepada RTM.
(Foto Fail)
Bagi Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin pula pelantikan Hannah diharap dapat membawa sukan Para ke tahap lebih tinggi.
"Kami di MPM sangat berbangga dan tidak sabar nak bekerjasama dengan Yang Berhormat (YB), Hannah Yeoh. YB adalah ahli parlimen wanita kedua yang menjadi Menteri Belia dan Sukan dan juga kami dari keluarga MPM Para akan memberi sokongan penuh dan bekerjasama baik dengan YB untuk memperkasa sukan Para," tambah Megat kepada RTM.
Tidak ketinggalan Persekutuan Wushu Malaysia yang turut merakamkan ucapan tahniah di atas pelantikan tersebut.
Presidennya, Datuk Chong Kim Fat mahu melihat sukan Wushu terus berkembang selain fokus kepada persiapan sukan Sea dan Sukan Asia 2023.
"Kita berharap agar YB Hannah Yeoh dapat memberikan tumpuan sokongan yang sepenuhnya untuk mengembangkan sukan Wushu di Malaysia. Kami berjanji akan terus berjuang dan mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa," kata Kim Fat.