Thursday, 8 December 2022

Perolehan kapal kombatan perlu ditambah, bagi keperluan TLDM

  • Published in Semasa

(Foto hiasan)

LUMUT, 3 Oktober- Perolehan Kapal Tempur Persisir (LCS) masih belum mencukupi untuk menampung keperluan kapal kombatan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany turut meminta kerajaan memberi perhatian serius tentang perolehan kapal kombatan tambahan terutama dalam Bajet 2023.

Menurut kenyataannya, peruntukan untuk sektor pertahanan perlu dilihat sebagai satu bentuk pelaburan dan bukannya perbelanjaan semata-mata.

Senario keselamatan serantau dan global perlu diambil kira oleh kerajaan.

Malah isu tuntutan bertindih, pencerobohan perairan oleh kapal asing serta kegiatan pelanunan dan rompakan di laut boleh menjejaskan aktiviti maritim sekali gus mengancam keamanan perairan negara.

Keterbatasan dan keusangan aset akan menjejaskan kredibiliti TLDM sebagai Angkatan Laut yang mampan dan sentiasa siaga.

Selain pembangunan aset, beliau berharap kerajaan mengambil kira kesiagaan aset-aset sedia ada, agar sentiasa bersedia untuk ditugaskan pada bila-bila masa dalam usaha mempertahankan kedaulatan negara.

(Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany)