Tuesday, 29 November 2022

USM universiti awam pertama di Malaysia sediakan kemudahan Ujian TOEFL iBT

  • Published in Semasa

GEORGE TOWN, 29 September- Universiti Sains Malaysia (USM) menjadi universiti awam pertama di negara ini yang menyediakan kemudahan Ujian Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Asing Berasaskan Internet (TOEFL iBT) untuk mana-mana calon berdaftar di seluruh dunia.

Naib Canselor USM Profesor Datuk Dr Faisal Rafiq Mahamd Adikan berkata, ia susulan pelancaran Pusat Ujian Berasaskan Komputernya atau dikenali sebagai Pusat CBT@USM.

Jelas beliau, Pusat CBT@USM, dengan kerjasama USAINS Holding Sdn Bhd, telah menerima akreditasi untuk mentadbir Ujian TOEFL iBT daripada Perkhidmatan Ujian Pendidikan (ETS) di Amerika Syarikat.

"Kami yakin pusat ini mampu menyediakan persekitaran ujian kelas terbaik untuk calon terutama mereka yang berasal dari bahagian utara Malaysia.

Akreditasi daripada ETS ini membuktikan bahawa makmal komputer USM mahupun kakitangannya memiliki standard dan pematuhan yang bertaraf global," katanya pada majlis pelancaran pusat itu di sini.

(Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr Faisal Rafiq Mahamd Adikan
dan Pengarah Urusan Pusat Ujian Malaysia, Ezani Amir)

Beliau juga yakin pencapaian itu akan terus membantu usaha USM untuk menarik lebih ramai pelajar antarabangsa melanjutkan pengajian mereka di universiti tersebut yang kini mempunyai lebih 6,000 pelajar dari luar negara.