Tuesday, 29 November 2022

Ar-Rahnu KPDRM sasar buka 10 cawangan menjelang 2025

  • Published in Semasa

SELANGOR, 28 September- Koperasi Polis Diraja Malaysia Berhad (KPDRM) menyasarkan untuk membuka 10 cawangan pajak gadai berkonsepkan Islam iaitu Ar-Rahnu sekitar Lembah Klang menjelang tahun 2025.

Ketua Polis Negara merangkap Yang Dipertua KPDRM, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani pada hari ini telah merasmikan Cawangan Pertama Ar-Rahnu KPDRM di Seksyen 9, Shah Alam, di sini.


(Ketua Polis Negara merangkap Yang Dipertua KPDRM, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani)

Beliau ketika berucap, menzahirkan keyakinan bahawa kewujudan Ar-Rahnu KPDRM mampu memberi nilai tambah terhadap perkhidmatan serta produk Koperasi PDRM, sekali gus memberikan pulangan terbaik demi manfaat seluruh ahlinya.

Menurut beliau, penglibatan KPDRM dalam industri ini merupakan langkah tepat dalam mempelbagaikan sektor pelaburan semasa bagi menyumbang kepada peningkatan dividen kepada anggota KPDRM.

Pada majlis yang sama, Ketua Polis Negara turut menerima wakalah zakat daripada KPDRM berjumlah RM218,723.50 yang akan diagihkan oleh Bahagian Agama dan Kaunseling (BAKA), PDRM mengikut kategori serta kelayakan yang telah ditetapkan.

Sementara itu, Pengerusi KPDRM, Dato’ Hasanuddin bin Hassan berkata, pihaknya optimis sasaran untuk membuka 10 lagi cawangan di Lembah Klang mampu direalisasikan berdasarkan trend pasaran semasa dan sambutan yang hangat daripada orang ramai.

“Pada awal penglibatan Koperasi PDRM dalam sektor Ar-Rahnu, sasaran awal kita untuk cawangan ini hanyalah RM2.5 juta untuk nilai pembiayaan bagi tahun 2021, dan di penghujung 2021, cawangan ini telah mencapai nilai pembiayaan sebanyak RM6.05 juta. Setakat hari ini, cawangan ini telah mencapai jumlah pembiayaan mencecah RM13.6 juta”.

“Melihat kepada prestasi yang amat memberangsangkan ini dan juga pelan strategik perniagaan Ar-Rahnu, Koperasi PDRM terus mengorak langkah menambah cawangan yang kedua di Sri Gombak, Selangor yang mula beroperasi pada 21 Januari 2022 dan cawangan ketiga di Sungai Besi, Kuala Lumpur yang beroperasi pada 13 Jun 2022.

"Cawangan keempat iaitu di Bangi, kini sedang dalam persediaan untuk beroperasi pada bulan November 2022”, katanya.

Tambah beliau, penubuhan Ar-Rahnu ini bertujuan menyediakan sumber kewangan alternatif selain daripada pembiayaan peribadi yang sedia ada.

Langkah ini adalah selaras dengan objektif utama KPDRM iaitu meletakkan kebajikan dan keperluan anggota sebagai keutamaan.

Sejak mula dibuka pada 2 Februari 2021, nilai pembiayaan Ar-Rahnu KPDRM telah mencecah RM17.2 juta bagi ketiga-tiga cawangan.

Usaha yang dilakukan oleh KPDRM ini adalah selaras dengan pelan Dasar Koperasi Negara yang dilancarkan Kerajaan, yang mahukan gerakan Koperasi di Malaysia ini dilihat sebagai sebuah entiti yang mampu menaik taraf sosio ekonomi ahlinya.

Selain itu juga, ia bertepatan dengan hasrat Kerajaan supaya operasi perniagaan koperasi pada masa kini lebih mudah dan kualiti koperasi yang didaftarkan lebih baik agar sasaran sumbangan perolehan koperasi kepada ekonomi negara berjumlah RM100 bilion dapat dicapai menjelang 2030.