Wednesday, 28 September 2022

Malaysia-Indonesia sepakat tingkat kerjasama komunikasi, keselamatan siber

  • Published in Semasa

JAKARTA, 19 Ogos- Malaysia dan Indonesia sepakat untuk meningkatkan kerjasama berkaitan keselamatan siber dan perkongsian bertaraf antarabangsa dalam bidang telekomunikasi.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, pemimpin dan agensi terlibat dari kedua-dua negara akan memperkukuh pengurusan keselamatan siber agar manfaatnya diperoleh bersama.

“Ada perkara yang kita perakui, tetapi soal keselamatan dalam negara menjadi perkara yang mesti diberi keutamaan,” katanya dalam sidang media bersama Menteri Komunikasi dan Informatika Indonesia, Johnny Gerard Plate sempena lawatan kerja tiga hari Tan Sri Annuar ke Jakarta.

(Tan Sri Annuar Musa, Menteri Komunikasi dan Multimedia)

Sementara itu, Johnny Plate berpandangan, pemilihan teknologi telekomunikasi yang tepat antara cabaran utama yang perlu dilakukan bersama kedua-dua negara.

"Kerana ada banyak cabaran yang harus diselesaikan bersama, dari segi pemilihan teknologi yang tepat untuk digunakan di dalam negeri, pemilihan teknologi satelit, teknologi komunikasi sehinggalah kepada teknologi yang berkaitan dengan keselamatan siber untuk menjaga ruang digital agar terus selamat," katanya.

Selain itu, Tan Sri Annuar memaklumkan, Malaysia dan Indonesia juga berhasrat merangka perhubungan lebih rapat menerusi forum-forum antarabangsa termasuk di Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU).

Jelas beliau, usaha berkenaan perlu bagi mendapatkan sokongan daripada negara luar ASEAN berhubung bidaan kerusi dalam Majlis ITU.

"Persidangannya akan berlaku pada akhir September nanti dan kedua-kedua negara membida untuk menduduki kerusi Majlis ITU yang mana Malaysia dan Indonesia telah sama-sama bersetuju untuk saling menyokong antara satu sama lain," katanya lagi.

ITU adalah agensi khusus Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) untuk teknologi maklumat dan komunikasi yang ditubuhkan pada tahun 1865.

Agensi tersebut bertanggungjawab memudahkan sambungan antarabangsa dalam rangkaian komunikasi.

Ini merupakan pertemuan kali ketiga Tan Sri Annuar dan Johnny Plate dalam tempoh enam bulan, dengan pertemuan kali terakhir di Singapura. - Laporan Dian Fatiha Maknoh