Thursday, 8 December 2022

Thailand perketatkan langkah keselamatan susulan peningkatan kemasukan pelancong asing

BANGKOK, 9 Disember-Perdana Menteri Thailand Prayut Chan-o-cha mengarahkan kawalan keselamatan ditingkatkan bagi melindungi pelancong memandangkan peningkatan ketibaan ke negara Asia Tenggara itu.

Prayut menggesa jabatan berkaitan, polis dan pengusaha perniagaan pelancongan meningkatkan langkah keselamatan di semua tempat selain memastikan keselamatan kesihatan awam, menurut timbalan jurucakap kerajaan Traisuree Taisaranakul pada Khamis.


(Kawalan keselamatan di sempadan Malaysia-Thailand)

Traisuree berkata ekoran kemasukan pelancong yang berterusan semasa musim sibuk, keselamatan pelancong tempatan dan asing penting bagi memastikan mereka terus yakin untuk melakukan perjalanan di negara ini, lapor Xinhua.

Sehingga 5 Disember, Thailand menerima 9.78 juta pelancong antarabangsa, menurut Pihak Berkuasa Pelancongan, dijangka jumlah itu akan mencecah 10 juta menjelang 10 Disember.

Jumlah itu meningkat daripada 6.7 juta ketibaan pelancong yang direkodkan pada 2021, namun masih jauh berbanding paras tertinggi yang dicatatkan pada 2019 iaitu 40 juta, menurut data Kementerian Pelancongan dan Sukan.

Prayut turut mengarahkan Kementerian Pengangkutan menghubungi syarikat penerbangan antarabangsa untuk menambah penerbangan bagi memenuhi permintaan yang meningkat, kata jurucakap kerajaan Anucha Burapachaisri pada Selasa.

Sektor pelancongan yang terjejas teruk oleh pandemik COVID-19 adalah antara pemacu ekonomi utama Thailand dan sumber pekerjaan utama. Pemulihan sektor pelancongan akan menyumbang kepada pemulihan pesat ekonomi negara secara berterusan.-BERNAMA

  • Written by Media Baharu
  • Category: Berita Dunia
  • Hits: 116