Keadaan persekitaran antara faktor penyakit kusta merebak
- Written by Media Baharu
- Published in Laporan Khas

KUALA LUMPUR, 29 Januari- Persekitaran tidak bersih dan keadaan tempat tinggal yang sesak menyumbang kepada merebaknya penyakit kusta, di samping kekurangan zat makanan dan daya tahan tubuh yang lemah.
Ramai yang menganggap penyakit berjangkit itu, sudah pupus.
Tetapi hakikatnya, ia masih wujud di lebih 100 buah negara di seluruh dunia, termasuk Malaysia.
(Pada 2021, rekod KKM menunjukkan kadar prevalen penyakit itu
adalah antara 0.02 hingga 0.14 kes bagi setiap 10,000 penduduk)
Jika disebut 'Leprosi' atau 'Hensen', pasti ramai yang tidak mengetahuinya.
Namun jika menyebut kusta, mungkin ramai mengetahui tentang penyakit ini.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) masih mengklasifikasikan ia sebagai masalah kesihatan dunia, walaupun penyakit purba itu telah berjaya dibasmi di kebanyakan negara, termasuk Malaysia.
Pada 2021, rekod Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menunjukkan kadar prevalen penyakit itu adalah antara 0.02 hingga 0.14 kes bagi setiap 10,000 penduduk.
Pakar Dermatologi & Perubatan, Unit Dermatologi, Jabatan Perubatan Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Dr. Mohan Arumugam berkata sejak tahun 2012, bilangan kes Kusta menunjukkan trend menurun.
"Dalam tahun 2021, sebanyak 142 kes baharu telah dilaporkan, ini bersamaan 4.2 kes bagi setiap satu juta penduduk di Malaysia," katanya kepada RTM.
(Dr. Mohan Arumugam)
Pakar Perunding Dermatologi, Hospital Pengajar UiTM Puncak Alam, Prof. Madya Tarita Taib pula berkata rakyat Malaysia perlu ambil tahu mengenai penyakit berkenaan dan bersikap prihatin.
"Kita nak beri kesedaran kepada masyarakat, sebenarnya penyakit kusta bukan penyakit yang kita rasa tak boleh 'eliminate', memang boleh kita singkirkan.
"Di 120 negara menjelang 2030, WHO kadar insiden kurang daripada satu dalam 120 negara, negara kita memang telah mencapai sasaran WHO tetapi negara jiran seperti Indonesia, India...India adalah negara nombor satu kadar insiden tertinggi di seluruh dunia di susuli Indonesia.
"Kita ada ramai pekerja asing yang datang dari Indonesia dan India, jadi nak tak nak kita perlu tahu tentang penyakit kusta itu dan kita juga perlu memberikan lebih perhatian kepada kelompok penempatan penduduk orang asli dan juga di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak," katanya.
(Prof. Madya Tarita Taib)
Malaysia berjaya mencapai tahap eliminasi kusta pada tahun 1994, iaitu dengan kadar prevalen 0.9 kes bagi setiap 10,000 penduduk.
Namun, langkah proaktif intervensi masih diteruskan oleh KKM.
Ini termasuk melalui pengesanan kes secara aktif dalam kalangan golongan berisiko di lokaliti endemik, selain memberikan rawatan awal kepada pesakit.
Ia menjadi kunci kepada pengawalan dan pencegahan kusta di Malaysia.
Laporan disediakan Suhil Mohd Noor.