Sunday, 26 March 2023

Kebun komuniti, jimat belanja dapur

  • Published in Laporan Khas

SHAH ALAM, 29 Januari- Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mencetuskan inisiatif Kebun Komuniti sebagai salah satu cara yang boleh dilakukan bagi menangani kos sara hidup di bandar.

Inisiatif itu mengajak penduduk Desa Impian, Kampung Merbau Sempak, Shah Alam; sama-sama terlibat menanam sayur-sayuran menerusi kaedah hidroponik.

Kekurangan tanah atau kawasan tanaman yang terhad tidak menghalang 50 peserta Program Kebun Komuniti; sepakat untuk mula bercucuk tanam di kediaman masing-masing.

Komuniti itu menerima set kit pemula hidroponik daripada Fakulti Pentadbiran Perniagaan UKM.

Menurut Ketua Projek Kebun Komuniti Jerry Shahnizal Aziz, kaedah hidroponik mampu direalisasikan oleh komuniti kerana ia mudah, cepat, kos rendah dan hanya memerlukan penjagaan minimum.

Pendekatan tersebut dapat menghasilkan sumber makanan segar kepada isi rumah selain menjadikan pertanian sebagai sumber pendapatan.

Tambah Jerry, "diharapkan program ini akan memberi manfaat kepada penduduk supaya dapat mengurangkan kos sara hidup dan sekiranya mempunyai hasil tuaian yang banyak, ia boleh menjana pendapatan tambahan."

Selain itu, menurut Jamilah Abdul Samad ia juga "memberi kesedaran kepada kita tentang kesihatan bermula dengan pemakanan selain dapat menjana pendapatan."

Tanaman Kebun Sayur Mini bermula sejak awal bulan ini hingga Mac nanti secara tidak langsung mempromosikan kaedah pertanian moden yang mesra alam dan selamat.

Laporan disediakan Yuzri Yusof.

(Program Kebun Komuniti di Desa Impian, Kampung Merbau Sempak)