Transformasi Masjid Al-Busyra, Merbok seiring peredaran semasa
- Written by Media Baharu
- Published in Laporan Khas

(Ruang solat masjid yang telah dinaik taraf)
MERBOK, 28 Januari- Bertepatan konsep masjid sebagai pusat sehenti yang menjadi persinggahan dan pertemuan, Masjid Al-Busyra di Pekan Merbok, Kedah dinaik taraf bagi memenuhi matlamat tersebut.
Transformasi dilakukan ke atas masjid lama yang dibina pada tahun 1972, dengan rekaan moden serta diberi nafas baharu sesuai peredaran semasa.
Menurut Pengerusi dan Imam Masjid, Ustaz Mohd Firdaus Mat Akhir sejak mengambil alih pentadbiran masjid pada 2018, beberapa inisiatif berjaya dilaksanakan.
Ini termasuk naik taraf ruang solat, menambah hiasan seni reka masjid, membina tandas dan medan selera berkonsepkan hentian rehat dan rawat (R&R), membina perpustakaan mini serta kemudahan tempat letak kereta yang selesa.
Perkarangan masjid turut dilengkapi tempat cuci kenderaan, selain air telaga wakaf untuk sesiapa sahaja yang berdepan kesulitan mendapatkan bekalan asas itu.
Pengunjung juga boleh mendapatkan barangan keperluan harian yang dijual di Al-Busyra Mart, terletak dalam kawasan masjid.
(Inisiatif pihak pengurusan Masjid Al-Busyra telah membuka mata
banyak pihak bahawa masjid bukan sahaja tempat untuk beribadat dan
bersedekah semata-mata, tetapi juga untuk menjana ekonomi umat Islam)
Jelas Ustaz Mohd Firdaus, hasrat menjadikan Masjid Al-Busyra sebagai masjid mesra musafir pertama di Kedah kini terlaksana apabila ia berkonsep terbuka tanpa pagar dengan tujuan mengalu-alukan kedatangan pengunjung tidak kira masa.
"Alhamdulillah sebagaimana yang digalakkan oleh Jabatan Agama Islam Negeri Kedah sendiri supaya masjid perlu jadi pusat sehenti.
"Jadi kebetulan masjid kita berada di tepi jalan utama hendak ke Tanjung Dawai. Orang perlukan tempat untuk singgah, jadi di Merbok ini kawasan kampung yang memang tiada tempat yang sesuai dan selesa untuk disinggah maka kita jadikan masjid sebagai masjid R&R," katanya kepada RTM.
Bagi memastikan aspek keselamatan terpelihara, pihaknya turut menyediakan khidmat pengawal keselamatan dan masjid dilengkapi kamera litar tertutup, CCTV.
Beberapa inisiatif lain termasuk membina inap desa, dobi dan spa untuk muslimah juga sedang dilaksanakan bagi memberi kemudahan dan keselesaan kepada orang ramai.
(Ustaz Mohd Firdaus Mat Akhir)
Tambah Ustaz Mohd Firdaus, selari perkembangan media sosial, pengurusan masjid menggunakan saluran Tiktok dengan pengisian pelbagai kandungan yang santai dan bersahaja, bertujuan menarik kedatangan pengunjung.
"Ini yang kita katakan mengembalikan kegemilangan masjid. Masjid jangan semakin sempit fungsi dia. Masjid perlu mengabdikan kegemilangan menyediakan kemudahan supaya orang ramai dapat ambil kemudahan dan mereka sendiri jatuh cinta, suka, seronok untuk datang ke rumah Allah SWT," katanya.
(Tempat cuci kenderaan turut disediakan di Masjid Al-Busyra)
Setakat ini, naik taraf kemudahan di masjid telah menelan belanja kira-kira RM2 juta menggunakan sepenuhnya sumbangan orang ramai dan syarikat korporat.
Inisiatif yang dilakukan oleh pihak pengurusan Masjid Al-Busyra itu telah membuka mata banyak pihak bahawa masjid bukan sahaja tempat untuk beribadat dan bersedekah semata-mata, tetapi juga untuk menjana ekonomi umat Islam.
Laporan disediakan Fakhrul Razi Ismail.