Isu bekalan bahan mentah beransur pulih
- Written by Media Baharu
- Published in Laporan Khas

KUALA LUMPUR, 27 Januari- Isu kekurangan bahan mentah kini beransur pulih, khususnya bekalan telur ayam.
Ia dilihat tidak terputus walaupun dalam proses pemulihan secara berperingkat.
Bagi menangani isu kekurangan bekalan telur ayam, kerajaan telah mengambil langkah sementara, dengan mengimport telur untuk menampung permintaan sehingga bekalan kembali stabil.
Tinjauan RTM di sebuah kafe di Selangor mendapati, pengusaha terbabit menarik nafas lega memandangkan bekalan telur ayam kini dilihat lebih baik berbanding sebelumnya.
Walaupun stok masih bergantung kepada pembekal, namun tidak sehingga menjejaskan perniagaannya.
"Sekarang, dalam seminggu dua ini pasaran baik dan saya sudah dapat penyelesaian.
"Saya ada satu kedai mereka boleh beri bekalan telur...bekalan sampai mereka akan beritahu dan boleh datang ambil," kata Pengusaha Kafe, Suhana Abu Hassan kepada RTM.
(Suhana Abu Hassan)
Sementara itu, Ketua Laboratori Kajian Dasar Pertanian dan Makanan Institut Pertanian Tropika dan Sekuriti Makanan, UPM, Profesor Dr. Abdul Rahim Abdul Samad berkata bagi menambah rantaian makanan, sekali gus mengurangkan bekalan import, kerajaan mengambil strategi baharu bersifat "Quick Win Solution".
Penyelesaian mudah itu akan diumum dalam masa terdekat selepas ia dirangka bersama kementerian dan agensi terlibat.
"Saya berpandangan ada beberapa intipati penting untuk mengambil kira dalam strategi mengurangkan kos sara hidup iaitu yang pertama kawal atau hapuskan peranan pemborong atau orang tengah.
"Punca kenaikan harga dipercayai daripada orang tengah yang membekalkan barangan berkenaan kepada peniaga dengan harga tinggi," katanya.
(Profesor Dr. Abdul Rahim Abdul Samad)
Selain itu, kerajaan disarankan untuk meneliti penggunaan tanah tidak dimajukan di bawah kerajaan Persekutuan dan negeri bagi tujuan pembangunan projek-projek pertanian dan penternakan.
Kerajaan juga secara proaktif sedang meneliti inisiatif jangka panjang bagi membolehkan jaminan bekalan makanan untuk memenuhi permintaan dan seterusnya membantu mengawal kenaikan harga.
Pastinya harapan kita sebagai rakyat, mahukan bekalan dan harga bahan mentah yang stabil.
Laporan disediakan Vimala Kasturi Verasamy.