Tarian singa pelengkap kepada sambutan TBC
- Written by Media Baharu
- Published in Laporan Khas

KUALA LUMPUR, 22 Januari- Tarian singa antara pelengkap kepada sambutan Tahun Baru Cina.
Setiap atur langkah yang disusun menjadi elemen penting menarik tumpuan setiap penonton yang menyaksikan persembahan.
Selepas dua tahun "berehat" akibat pandemik COVID-19, "singa" dan "naga" kembali beraksi memeriahkan sambutan Tahun Baharu Cina yang dirai hari ini.
Walaupun ia berasal dari Tanah Besar China namun masyarakat Cina Malaysia telah menggabungkan persembahan artistik itu kepada bentuk yang unik dengan sejarah lebih 100 tahun di negara ini.
"Tarian singa mempunyai sejarah selama 5,000 tahun. Perkara yang tidak baik kita buang, dan ambil perkara yang baik," kata Setiausaha Persatuan Pertubuhan Kesenian Myrainforest Langkawi Kedah, Ng Wai Kong.
(Tarian singa pelengkap kepada sambutan TBC)
Tarian singa dikenali sebagai "wushi" dalam bahasa Mandarin.
Kaum Tionghoa percaya tarian itu membawa tuah kepada mereka jika persembahan diadakan di kediaman atau premis-premis perniagaan.
"Kung Fu asas dan bagaimana kita nak merasai kita sebagai pemain singa. Jadi bila kita menari kita harus dapat rasa naluri singa, macam mana reaksi singa tu bila kita berdepan dengan orang ramai. Jadi perlukan pengalaman dan banyak latihan," Jurulatih Tarian Singa, Aaron Poh.
Diiringi paluan gendang dan gong serta lagaan simbal, penari-penari di sebalik kostum singa atau naga menunjukkan ketangkasan melakukan pelbagai aksi akrobatik yang sering memukau perhatian penonton.
"Dari kecil dah kita tengok orang dewasa main, jadi kita pun akan main-main ambil kerusi mak letak atas kepala di rumah. Saya bernasib baik dapat ikut serta ketika berusia 12 tahun. Sampai sekarang saya main tarian singa. Sangat menarik, sebenarnya tak susah," menurut jurulatih tarian singa, Robby Theseira.
Pada asasnya, dua penari akan berganding membuat aksi tarian dengan seorang di depan untuk menggerakkan kepala, manakala seorang lagi di belakang.
Aksi ini memerlukan mereka sentiasa berkomunikasi dan masing-masing perlu tahu langkah dan aksi yang mahu dilakukan.
"Selamat Tahun Baharu Cina”
Laporan wartawan Mohammad Najib Mashor.