Wednesday, 1 February 2023

 

Masyarakat madani wujudkan Malaysia yang lebih baik

  • Published in Laporan Khas

(Foto fail)

KUALA LUMPUR, 19 Januari- Konsep madani mencerminkan penekanan ke arah pembentukan masyarakat bertamadun, bebas memberi pandangan dan memupuk perpaduan.

Pembentukan sebuah masyarakat madani juga mampu mengangkat Malaysia menjadi sebuah negara maju dari segi pemikiran, kerohanian dan kebendaan.

Konsep yang diilhamkan Perdana Menteri , Datuk Seri Anwar Ibrahim ini mampu membentuk negara ke arah masa depan yang lebih maju berlandaskan nilai-nilai etika yang bersesuaian dengan masyarakat yang pelbagai kaum.

Berteraskan enam tunjang utama iaitu kemampanan, kesejahteraan, berdaya cipta, hormat, kepercayaan dan ihsan, ia menjadi panduan bagi setiap lapisan khususnya dalam pentadbiran negara.

Penganalisis politik, Prof. Madya Dr. Awang Azman Awang Pawi berkata konsep madani disifatkan sebagai pendekatan sederhana, rasional dan musyarawah yang cuba diterapkan Perdana Menteri berdasarkan acuan sendiri, bukannya dipengaruhi pengamal barat.

(Prof. Madya Dr. Awang Azman Awang Pawi berkata konsep madani disifatkan sebagai pendekatan
sederhana, rasional dan musyarawah yang cuba diterapkan Perdana Menteri)

"Semangat yang hendak dihidupkan dalam semangat kebebasan kemerdekaan diri, dan mengembalikan nilai kemanusian dan menyegarkan sikap berlapang dada, berjiwa besar serta mengamalkan prinsip musyawarah dan mendukung nilai demokrasi," kata Awang Azman.

Tambahnya, dalam konteks memperkasakan institusi, pelaksanaan reformasi penting dalam mengangkat keadilan untuk semua, mendaulatkan kuasa rakyat melalui demokrasi, keadilan ekonomi, membanteras rasuah dan salah guna kuasa, jati diri, budaya dan globalisasi berteraskan kebenaran dan keadilan

"Saya kira semua pihak bertanggungjawab segala tindakan dalam membina masyarakat islah dan tajdid menjadi medan sebuah masyarakat sivil ataupun masyarakat madani yang berpaksikan nilai etika nilai yang cemerlang. Malah adil dan seimbang serta mengambil kira faktor agama dan budaya serta sentiviti agama...adanya pendekatan yang sederhana rasional dialog rundingan untuk membina masyarakat lebih baik," katanya.

BERITA BERKAITAN
Amanat khas 'Membangun Malaysia Madani' pukul 11.30 pagi ini
Malaysia Madani bakal jadi panduan masyarakat
Minggu Perpaduan inisiatif perluas konsep Malaysia Madani di seluruh negara


Pendapat sama turut disuarakan Profesor Madya Dr Jeniri Amir.

Katanya dari perspektif politik, masyarakat madani merupakan suatu organisasi atau gerakan yang bebas daripada campur tangan atau kawalan mana-mana parti politik.

Setiap ahlinya barangkali mempunyai kecenderungan tertentu, namun ia tidaklah sehingga mempengaruhi keputusan mereka dalam menentukan hala tuju negara khususnya menuju ke arah mewujudkan masyarakat madani.

(Dr Jeniri berkata  masyarakat madani merupakan suatu organisasi atau gerakan yang
bebas daripada campur tangan atau kawalan mana-mana parti politik)

"Jadi dalam konteks politik bagi saya adalah penting untuk mereka bukan sahaja menjaga kelakuan mereka tetapi jauh yang lebih penting ialah mereka perlu berpegang kepada nilai-nilai etika dan akhlak kerana khirnya para pemimpin politik harus menjadi teladan contoh terbaik kepada generasi muda dan rakyat pada keseluruhanya," kata Jeneri.

Kesimpulannya semua pihak perlu berganding bahu dalam memastikan konsep madani dapat diterapkan demi membentuk sebuah masyarakat yang lebih baik, menjunjung nilai moral, akhlak dan etika yang unggul dan bukannya terjebak dengan agenda negatif ke arah mewujudkan Malaysia yang lebih baik.

Laporan wartawan Atikah Makhtar.

(Masyarakat madani wujudkan Malaysia yang lebih baik)