Thursday, 8 December 2022

Laporan Khas

Pulau Tioman destinasi pelancongan pelbagai tarikan

(Spesis bunga gergasi yang juga spesis baharu, Rafflesia Tiomanensia)

PULAU TIOMAN, 6 Disember- Status Pulau Tioman di Pahang sebagai salah satu destinasi pelancongan utama di Malaysia tidak dapat disangkal lagi.

Selain keindahan pantai dan aktiviti laut, pulau yang mempunyai tujuh buah perkampungan itu turut mempunyai daya tarikan lain.

Setiap kali tiba musim monsun, semua aktiviti berkaitan laut seperti snorkling dan menyelam di pulau ini akan dihentikan, disebabkan faktor keselamatan.

Bagaimanapun, terdapat tarikan lain ada di sini yang mampu memuaskan hati pengunjung sekiranya bercuti di Pulau Tioman.

Ia termasuk kewujudan spesis bunga gergasi yang juga spesis baharu, Rafflesia Tiomanensia.

Jurupandu tempatan, Razelan Mat Shah atau Pak Lan berkongsi lokasi kedudukan Rafflesia atau bunga pakma itu, yang dilaporkan hanya mekar selama lima hari.

"Susah orang hednak jumpa dia, kena tunggu sembilan bulan baru dia kembang lima hari enam hari. Saya tidak boleh janji. siapa yang bernasib baik," kata Pak Lan.

Beliau yang berpengalaman membawa pelancong menyusuri kawasan hutan menghubungkan Kampung Tekek dan Juara itu juga memaklumkan, terdapat empat spesis Kamelion boleh ditemukan di kawasan hutan berkenaan.

(Gonocephalos Grandis)

Kru RTM turut bertuah apabila terserempak dengan kawanan Kamelion Dragon Head ketika menyusuri hutan.

Selain itu terdapat juga spesis Basilisk, Grandis dan Two Horn.

"Di dunia ada lebih kurang 119 spesis kameleon, kat Tioman ada empat. Kita ada Dragon Head, Two Horn, Basilisk dan Grandis. Yang menarik Ganasipalous Chameleontinos ni endemik Tioman. Saya jumpa kampungnya, saya tak pernah terlepas," tambahnya..

Selain pantai dan perkampungan di Pulau Tioman..tarikan terbaharu yang boleh diterokai pelancong pastinya hidupan liar yang terdapat di hutan. Jika anda ke sini jangan lepaskan peluang untuk menikmati keindahan alam.

Laporan khas wartawan Annaz Md Nor.

  • Written by Media Baharu
  • Category: Laporan Khas
  • Hits: 132