Wednesday, 8 February 2023

 

78 individu ditahan termasuk seorang warga asing bergelar doktor

  • Published in Jenayah

(Suspek wanita antara yang ditahan dalam serbuan Operasi Khas di tiga
buah pusat hiburan sekitar Kluang dan Batu Pahat malam tadi/FOTO Polis Johor)

JOHOR BAHRU, 22 Januari - Polis merampas pelbagai jenis dadah bernilai kira-kira RM261, 780 menerusi operasi khas di tiga buah pusat hiburan di sekitar Kluang dan Batu Pahat, di sini, pada malam tadi.

Dadah yang dirampas dalam operasi ini boleh digunakan seramai 15, 206 orang penagih.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata hasil daripada operasi yang dijalankan, seramai 78 individu ditahan terdiri daripada 55 lelaki dan 15 wanita warga tempatan termasuk tiga lelaki dan lima wanita warga asing berusia 16 hingga 68 tahun.

"Pada masa sama dua lelaki tempatan berumur 25 hingga 33 tahun termasuk wanita warga asing bergelar doktor berusia 32 tahun telah ditangkap yang merupakan pembekal dadah ke pusat hiburan terbabit," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Menurut beliau, dua daripada pusat hiburan terbabit gagal mengemukakan lesen perniagaan dan hiburan yang sah.

Manakala sebuah pusat hiburan didapati beroperasi lebih masa daripada yang dibenarkan oleh pihak berkuasa tempatan.

"Hasil saringan ujian air kencing, mendapati 68 individu positif dadah jenis tetrahydrocannabinol (THC), methamphetamine dan ketamine terdiri daripada 49 lelaki dan 19 perempuan," katanya.

(Antara suspek yang ditahan dalam serbuan operasi khas malam tadi/FOTO Polis Johor)

Pihaknya juga telah menyita sebuah kenderaan dan wang tunai berjumlah RM312.000.

Jumlah keseluruhan nilai rampasan dadah dan sitaan bagi operasi ini adalah RM408, 015.65.

"Kesemua suspek telah direman selama enam hari bermula semalam hingga 26 Januari ini untuk siasatan lanjut di bawah akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Imigresen 1959/63 dan Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan Johor 4/98," tambahnya lagi.

(Pelbagai jenis dadah dan wang tunai rampasan dalam serbuan di tiga buah premis pusat hiburan malam tadi/FOTO Polis Johor)