Wednesday, 8 February 2023

 

Suspek bunuh samun warga emas ada tiga rekod jenayah

  • Published in Jenayah

(Lokasi kejadian di Kampung Pulai Darat, Jasin)

JASIN, 21 Januari- Seorang warga emas maut selepas dipercayai disamun oleh seorang lelaki yang memecah masuk rumahnya di Kampung Pulai Darat, Jasin awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.00 pagi itu, mangsa Misah Md Amin, 91 tahun ditemui dalam keadaan terbaring di bahagian dapur rumahnya.

Pemangku Ketua Polis Daerah Jasin, Asisten Superintendan Mohd Fadzli Othman ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima maklumat kira-kira pukul 3.54 pagi berhubung kejadian daripada jiran mangsa.

Hasil pemeriksaan, warga emas berkenaan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Mayat dihantar ke Hospital Jasin bagi proses bedah siasat.

Motif kejadian serta punca kematian masih dalam siasatan.

Sementara itu, bertindak atas maklumat, pihak polis berjaya menahan suspek kira-kira enam jam kemudian di kawasan berhampiran.

Berdasarkan semakan, suspek mempunyai tiga rekod lampau berhubung kes rompak dan samun.

Suspek ditahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.


(Mangsa, Misah Md Amin)