Wednesday, 8 February 2023

 

Tiga individu mengaku tidak bersalah buat tuntutan palsu Program Penjana Kerjaya 2.0

  • Published in Jenayah

(Tertuduh diiringi pegawai SPRM)

AYER KEROH, 20 Januari- Tiga pemilik syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh, atas tiga tuduhan mengemukakan dokumen palsu.

Ia masing-masing bagi menuntut insentif di bawah Program Penjana Kerjaya 2.0 (PENJANA), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) berjumlah sebanyak RM136,100 ringgit dua tahun lalu.

Ketiga-tiga tertuduh, Siti Marzila Daud, 46 tahun, Siti Nor Sofwah Ahmad, 26 tahun, dan Nick Farhan Zakiran Mahadi, 30 tahun, membuat pengakuan itu sejurus kesemua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Mengikut pertuduhan, Marzila yang juga pemilik kedai kek berdepan tuduhan memperdaya Perkeso dengan mengemukakan dokumen mengandungi pernyataan palsu dalam borang Pengesahan Pekerja Program Insentif untuk menuntut insentif di bawah Penjana 2.0 berjumlah RM50,000 kepada seorang ejen Perkeso, M. Nittiya.

Tertuduh didakwa mengemukakan nama pekerja baharu dalam dokumen berkenaan sedangkan nama tersebut bukan pekerja syarikatnya.

Perbuatan didakwa dilakukan di Wisma Perkeso, Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka, MITC, Ayer Keroh pada 8 Mac 2021.

Sementara itu, Siti Nur Sofwah yang juga pemilik sebuah syarikat minuman teh dan Nick Farhan Zakiran sebagai pemilik syarikat kejuruteraan, masing-masing berdepan dengan satu pertuduhan, melakukan perbuatan sama di tempat sama.

Siti Nur Sofwah didakwa membuat tuntutan palsu berjumlah RM41,000 pada pada 23 Mac 2021 manakala Nick Farhan Zakiran berjumlah RM45,100 pada 16 April 2021.

Kesemua mereka didakwa di bawah Seksyen 18 / 24 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, SPRM, 2009.

Hakim Elesabet membenarkan Mazila diikat jamin sebanyak RM15,000 manakala Siti Nur Sofwah dan Nick Farhan Zakiran masing-masing sebanyak RM12,000.

Kesemua tertuduh diperintah melapor diri di pejabat SPRM pada minggu pertama setiap bulan, menyerahkan dokumen perjalanan kepada mahkamah dan dilarang mengganggu saksi pendakwaan.

16 Februari depan ditetapkan sebagai tarikh sebutan semula kes.


(Tertuduh diiringi pegawai SPRM)