Wednesday, 8 February 2023

 

Polis tumpaskan sindiket rokok seludup, seleweng diesel bersubsidi

  • Published in Jenayah

(Ketua Polis Daerah Kuala LangatSupt Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh (kanan)
menunjukkan gambar penyeludupan minyak diesel dan penyeludupan
rokok pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat/BERNAMA)

BANTING, 19 Januari- Polis berjaya mematahkan sindiket penyelewengan minyak diesel bersubsidi dan minyak hitam serta pengedaran rokok seludup melibatkan rampasan bernilai jutaan ringgit hasil dua operasi berasingan yang dilaksanakan pada minggu ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Supt Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata bagi kes pertama, pihaknya merampas 32,400 liter minyak diesel dengan anggaran nilai RM85,500 dan 183,400 liter minyak hitam bernilai RM137,550 di sebuah gudang di Jalan Klang Banting, Kampung Sungai Jarom, di sini, Isnin lalu.

“Semasa serbuan dijalankan menerusi Op Taring, didapati sekumpulan lelaki sedang membuat aktiviti pemindahan minyak diesel bersubsidi dari lori lima tan ke lori tangki lain di dalam premis berkenaan,” katanya pada sidang media, di sini. 

Katanya, hasil serbuan tersebut tiga lelaki tempatan dan seorang lelaki warga India ditahan serta membuat rampasan dan sitaan bernilai RM8.4 juta termasuk tiga buah lori tangki dan sebuah lori, empat unit pam penyedut minyak pelbagai jenama bersama hos getah serta 100 tangki intermediate bulk container (IBC) dan premis. 

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961; Seksyen 34(b) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Dalam kes berlainan, Ahmad Ridhwan berkata pihaknya telah melakukan rampasan rokok seludup pelbagai jenama sebanyak 2,094 karton dalam satu serbuan di sebuah rumah teres dua tingkat di Bandar Rimbayu, di sini, semalam.

Beliau berkata risikan yang dibuat menerusi Op Kontraban telah dibuat sejak sebulan lalu, sebelum rumah berkenaan diserbu kira-kira jam 12.30 tengah hari.


(Ketua Polis Daerah Kuala LangatSupt Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh
(dua, kiri) menunjukkan pelbagai jenis rokok yang diseludup pada sidang
akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat/BERNAMA)

Katanya, hasil serbuan mendapati pelbagai jenis rokok dipercayai tidak bercukai disimpan dalam rumah berkenaan yang dijadikan stor simpanan rokok sebelum diedar ke kedai-kedai runcit di sekitar Lembah Klang.

“Hasil rampasan terhadap rokok dan kereta suspek dianggar bernilai kira-kira RM500,000,” katanya.

Ahmad Ridhwan berkata susulan serbuan terbabit, seorang suspek lelaki tempatan berusia 30-an direman selama enam hari hingga 24 Jan ini untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 135, Akta Kastam 1967. -BERNAMA