Wednesday, 8 February 2023

 

Insiden samun guru besar, polis jalankan siasatan menyeluruh

  • Published in Jenayah

(Foto hiasan)

KAJANG, 17 Januari- Polis Kajang akan menjalankan siasatan menyeluruh berkaitan insiden samun melibatkan seorang guru besar di Pekan Semenyih, Isnin lalu.

Ini bertujuan mengenal pasti sekiranya terdapat unsur-unsur kecuaian atau pembabitan 'orang dalam'.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, guru besar berkenan telah memberi kenyataan bagi membantu siasatan.

Pihaknya turut meneliti rakaman kamera litar tertutup di lokasi kejadian bagi mengenal pasti individu yang keluar dan masuk dari bank berkenaan.


(Ketua Polis Daerah Kajang,
Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan)

"Kita tengok dari semua sudut, mungkin ada orang dalam atau ada kecuaian, ada unsur-unsur lain, kita ada siasat dari semua segi. Setakat ini, guru itu berkata telah sepuluh tahun di sekolah sebelum ini, tidak pernah berlaku. Itu antara alasan yang diberikan", katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Op Selamat 19/13 sempena Tahun Baru Cina 2023 Peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah.

Isnin lalu, seorang guru besar dilaporkan disamun selepas mengeluarkan wang tunai bagi bantuan awal persekolahan berjumlah RM109,000.00 di Beranang, Selangor.