Thursday, 8 December 2022

Polis tahan wanita bakar al-Quran

KUALA LUMPUR, 8 Disember- Polis menahan seorang wanita yang disyaki membakar helaian dua naskhah al-Quran di laluan tangga tempat letak kereta sebuah premis di Jalan Ampang, di sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Noor Dellhan Yahaya berkata wanita berusia 32 tahun yang bekerja sebagai pengawal keselamatan itu ditahan di lokasi kejadian pada pukul 2.00 pagi selepas pihaknya menerima laporan berhubung insiden itu pada pukul 1.51 pagi.

"Motif belum jelas namun berdasarkan hasil soal siasat awal, suspek menghadapi tekanan perasaan kesan daripada masalah keluarga," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

(Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Noor Dellhan Yahaya)

Noor Dellhan berkata pemeriksaan air kencing mendapati wanita itu tidak berada di bawah pengaruh alkohol dan ujian saringan dadah negatif serta tidak mempunyai rekod masalah mental.

Beliau berkata suspek kini direman selama empat hari sehingga 11 Disember ini bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan dan Peraturan 25(1)(n) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990.

  • Written by Media Baharu
  • Category: Jenayah
  • Hits: 49