Friday, 9 December 2022

Konsert Inspirasi Anak Malaysia meraikan Hari Malaysia 2022

  • Published in Hiburan

KUALA LUMPUR, 16 September - Stesen radio KLFM Radio Televisyen Malaysia (RTM) mengadakan Konsert Inspirasi Anak Malaysia ( Konsert IM) bertempat di Tower Terrace, Menara Kuala Lumpur, sempena meraikan Hari Malaysia 2022.

Konsert berdurasi satu setengah jam itu menyaksikan persembahan barisan penyanyi popular tanah air seperti Datuk Francisca Peter, Azlan & The Typewriter, Wany Hasrita, Haqiem Rusli serta Daniel Sher.

Menurut Pengurus KLFM, Noorliza Nordin selain meraikan perpaduan dalam kepelbagaian kaum "Keluarga Malaysia", Konsert IM turut mendapat kerjasama daripada pihak swasta yang diraikan penuh meriah selepas dua tahun tidak dilaksanakan disebabkan pandemik COVID-19.

(Noorliza bercakap kepada pemberita dalam Konsert Inspirasi Anak Malaysia)

"Alhamdulillah kali ini kita mendapat kerjasama baik daripada pengurusan Menara Kuala Lumpur menerusi platform 'infotainmen'," kata Noorliza Nordin di sini.

Turut hadir Timbalan Pengarah Program Radio RTM, Fairuz Mohd Radzi dan Ketua Pegawai Eksekutif Menara Kuala Lumpur, Ainol Shaharina Sahar.

Konsert IM berlangsung sekitar pukul 5.15 petang itu menghidangkan gabungan persembahan artis lama dan baharu dengan membawakan lagu patriotik dan 'single hits' mereka.

Penonton disajikan dengan persembahan bertenaga menerusi lagu-lagu yang dibawakan barisan penyanyi selain lagu patriotik seperti Warisan, Setia, Standing In The Eyes Of The World dan banyak lagi.

Konsert tersebut juga bersiaran secara langsung di platform media sosial RTM bagi meluaskan lagi ruang siaran dan menarik minat generasi muda untuk memilih siaran radio KLFM.