Monday, 27 March 2023

Sektor perkhidmatan catat peningkatan, rekod hasil lebih setengah bilion ringgit

  • Published in Ekonomi

KUALA LUMPUR, 8 Februari- Sektor perkhidmatan mencatatkan pertumbuhan dua digit, 14.9 peratus pada suku keempat 2022 dan merekodkan hasil berjumlah RM528.8 bilion.

Prestasi pada tempoh tersebut dipacu segmen perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman serta penginapan meningkat 15 peratus kepada RM425.8 bilion.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir menjelaskan hasil keseluruhan sektor perkhidmatan tahun lalu meningkat 20.3 peratus kepada RM2 trilion berbanding tahun sebelumnya.

Ia melebihi 13.7 peratus berbanding nilai dicatatkan sebelum pandemik.

Sementara itu, pendapatan e-dagang pula mencatatkan nilai RM302.3 bilion berkembang 4.1 peratus tahun ke tahun pada suku keempat 2022.

Jumlah pekerja dalam sektor perkhidmatan pula mencecah 3.84 juta orang, meningkat 111.4 ribu orang atau tiga peratus tahun ke tahun.

Gaji dan upah turut mencatat peningkatan sebanyak RM1.5 bilion atau 5.9 peratus tahun ke tahun.


(Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir/Foto Fail)