Wednesday, 8 February 2023

 

Pasaran getah meningkat seiring prestasi niaga hadapan Jepun

  • Published in Ekonomi

KUALA LUMPUR, 25 Januari- Pasaran getah Malaysia mengakhiri dagangan lebih tinggi pada hari ini sejajar dengan peningkatan pasaran niaga hadapan Jepun, di tengah-tengah ketiadaan peniaga China berikutan cuti Tahun Baharu Cina, kata peniaga.

Beliau berkata, sentimen optimis berterusan terhadap pemulihan ekonomi di China serta unjuran ekonomi yang lebih baik susulan penyusutan kadar inflasi tahunan di negara-negara utama yang ternyata merangsang pasaran.

“Bagaimanapun, peningkatan seterusnya dikekang oleh pengukuhan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS),” katanya kepada Bernama.

Bursa Niaga Hadapan Shanghai (SHFE) ditutup selama seminggu sempena cuti Tahun Baharu Cina dan akan beroperasi semula pada 30 Januari ini.

Menurut peniaga, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) melaporkan bahawa prospek ekonomi global kini kembali cerah dengan tanda-tanda inflasi kian susut daripada paras tertinggi dalam tempoh empat dekad.

“IMF akan mengeluarkan unjuran ekonomi global terkini pada akhir bulan ini selain membayangkan kenaikan kecil prospek pertumbuhan semasa 2.7 peratus bagi 2023," katanya.

(Foto hiasan)

Sementara itu, harga Lembaga Getah Malaysia (LGM) bagi Getah Mutu Malaysia 20 (SMR 20) naik tujuh sen kepada 611.5 sen sekilogram manakala lateks pukal menokok satu sen kepada 524.0 sen sekilogram.

Pada 5 petang, harga penutup LGM bagi SMR 20 berada pada 613.5 sen sekilogram manakala harga lateks pukal pada 527.0 sen sekilogram.-BERNAMA