Wednesday, 8 February 2023

 

Bursa Malaysia dibuka tinggi

  • Published in Ekonomi

KUALA LUMPUR, 25 Januari- Bursa Malaysia dibuka tinggi hari ini selepas hujung minggu yang panjang disebabkan cuti Tahun Baharu Cina, diniagakan secara berhati-hati, mengambil petunjuk daripada saham Amerika Syarikat (AS) yang ditutup sedikit berubah pada Selasa.

Pelabur masih menilai indeks pembuatan Federal Reserve Bank of Richmond yang lemah dan campuran keluaran pendapatan untuk hala tuju pasaran, kata peniaga.

Pada pukul 9.05 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 0.07 mata kepada 1,500.40 daripada 1,500.33 pada Jumaat lepas.

Saham pandu pasaran dibuka tinggi 0.97 mata kepada 1,501.30.

Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 205 berbanding 94 manakala 232 kaunter tidak berubah, 1,665 tidak diniagakan dan sembilan yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 110.87 juta unit bernilai RM55.52 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd menjangka aktiviti dagangan akan rendah berdasarkan minggu dagangan yang pendek disebabkan cuti umum berikutan kebanyakan pelabur masih bercuti.

Bagaimanapun, katanya dijangka terdapat pergerakan meningkat dengan peniaga mengambil kedudukan dalam aset berisiko susulan langkah mengejut Bank Negara Malaysia untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR).

Katanya dari segi komoditi, minyak mentah Brent merosot hampir pada sekitar AS$86 setong manakala harga minyak sawit mentah (MSM) hampir RM3,900 satu tan.

“Bagi sektor yang menjadi tumpuan, sektor minyak dan gas serta perladangan dijangka mendapat minat dagangan dengan harga MSM mencatatkan tiga sesi peningkatan berturut-turut manakala minyak mentah Brent tinggi disebabkan permintaan yang tinggi daripada tema pembukaan semula.

“Selain itu, saham berkaitan pembinaan dan bahan binaan boleh menjadi lebih positif di bawah keadaan tenaga kerja yang bertambah baik,” katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Petronas Chemical menambah enam sen kepada RM8.56, Tenaga Nasional naik lima sen kepada RM9.50, CIMB berkurangan empat sen kepada RM5.73 manakala Maybank dan Public Bank, masing-masing tidak berubah pada RM8.80 dan RM8.56.

(Foto fail)

Bagi saham aktif, Nationgate meningkat empat sen kepada RM1.22, Cosmos Technology naik tiga sen kepada 58.5 sen, Industronic merosot satu sen kepada 6.5 sen manakala CSH Alliance dan Vinvest Capital, masing-masing tidak berubah pada tujuh sen dan 20 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 11.63 mata kepada 10,854.11, Indeks FBMT 100 meningkat tujuh mata kepada 10,540.78 dan Indeks FBM Emas Shariah menambah 16.30 mata kepada 11,109.92.

Indeks FBM 70 meningkat 26.84 mata kepada 13,533.49 dan Indeks FBM ACE naik 29.86 mata kepada 5,585.94.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 0.68 mata kepada 16,534.45, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan meningkat 0.70 mata kepada 189.06, Indeks Perladangan naik 0.62 mata kepada 6,882.04 dan Indeks Tenaga menambah 2.15 mata kepada 847.96. -BERNAMA