Wednesday, 8 February 2023

 

Maybank optimis lima langkah diperkenal BNM atasi 'scammer' dilaksana sepenuhnya Jun ini

  • Published in Ekonomi

KUALA LUMPUR, 24 Januari- Maybank komited untuk memerangi kes penipuan kewangan menerusi lima langkah tambahan yang diperkenal Bank Negara Malaysia (BNM) pada September tahun lalu.

Peneraju perkhidmatan kewangan utama negara itu optimis, kelima-lima langkah itu dapat dilaksana sepenuhnya sebelum Jun ini.

Ketua Perkhidmatan Kewangan Komuniti Maybank, Datuk Hamirullah Boorhan memaklumkan, bank itu telah melengkapkan hampir kesemua langkah-langkah yang diperlukan.

"Antara langkah tersebut, Secure2u untuk menggantikan TAC yang diberi menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS), sebab kita takut SMS TAC boleh terdedah kepada mana-mana pihak ketiga, tetapi Secure2u kami hadkan hanya untuk satu peranti sahaja untuk seorang pelanggan.

Itu merupakan langkah terbaharu yang diperkenal untuk pastikan keselamatan pelanggan kami dalam melakukan transaksi perbankan," katanya menerusi temu bual eksklusif bersama RTM.

(Datuk Hamirullah Boorhan, Ketua Perkhidmatan Kewangan Komuniti Maybank)

Untuk tempoh beberapa bulan akan datang, bank akan mempercepat peralihan penggunaan kata laluan sekali saja (OTP) menerusi SMS kepada ciri keselamatan Secure2u, bagi perkhidmatan yang kurang digunakan pelanggan.

Sebagai usaha berterusan untuk mengukuhkan keselamatan perbankan dalam talian, Maybank akan turut memperkenal ciri baharu yang membenarkan pelanggan membekukan akaun sekiranya terdedah kepada ancaman 'scammer'.

Persatuan Bank-bank Dalam Malaysia (ABM) dalam kenyataan pada Disember lalu memaklumkan, semua bank progresif dalam melaksanakan langkah-langkah menangani penipuan kewangan yang dijangka akan selesai sepenuhnya Jun ini.