Wednesday, 8 February 2023

 

Malaysia perlu cari asas hala tuju perkembangan ekonomi lebih baik - Pakar Ekonomi

  • Published in Ekonomi

KUALA LUMPUR, 24 Januari - Malaysia perlu lebih banyak berdikari dan bekerjasama dengan rakan serantau untuk mencari asas hala tuju perkembangan ekonomi yang lebih baik.

Pakar Ekonomi, Profesor Emeritus Dr. Jomo Kwame Sundaram berkata langkah itu perlu diambil ekoran kuasa besar seperti Amerika Syarikat sedang melaksanakan dasar yang memperlahan ekonomi dunia.

Katanya, Sidang tahunan Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2023 juga mengingatkan masyarakat antarabangsa untuk mengintensifkan kerjasama pada masa depan bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi dalam pembangunan dunia.

(Profesor Emeritus Dr. Jomo Kwame Sundaram / FOTO FAIL)

"Amat penting kita terus adakan hubungan yang baik dengan rakan-rakan di serantau, di Asean itu sudah pasti, tetapi selama ini kita dapati bahawa semenjak timbulnya Kawasan Perdagangan Bebas Asean (AFTA) dan sebagainya kita tidak dapati AFTA itu banyak berkembang atau kesannya begitu baik untuk Malaysia.

"Walaupun kita terus mengharapkan Asean itu...amat penting kita bekerjasama dengan satu sikap yang lebih luas untuk mengambil kira apa yang dikatakan Asean+3 iaitu Jepun, China dan Korea dan ini amat penting malah rakan perdagangan yang paling penting sekarang merupakan China dan itu ialah realiti yang harus kita sedari," katanya ketika menjadi tetamu rancangan Bicara Naratif terbitan RTM.

Tegas Dr. Jomo, Malaysia perlu mencari jalan pragmatis agar tidak ketinggalan berbanding negara anggota Asean yang lain.