Wednesday, 8 February 2023

 

Bursa Malaysia bercampur-campur pada tengah hari

  • Published in Ekonomi

(Foto hiasan)

KUALA LUMPUR, 8 Disember- Bursa Malaysia bercampur-campur semasa mengakhiri sesi pagi ini berikutan kekurangan minat belian yang kukuh.

Pada rehat tengah hari, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menambah 0.10 mata kepada 1,466.98 daripada 1,466.88 pada Rabu.

Saham pandu pasaran dibuka rendah 0.49 mata kepada 1,467.37 dan bergerak antara 1,462.59 dan 1,469.12 sepanjang sesi.

Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 531 berbanding 302 manakala 345 kaunter tidak berubah, 1,077 tidak diniagakan dan 11 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 1.88 bilion unit bernilai RM869.12 juta.

Menurut Hong Leong Investment Bank, konsolidasi jangka pendek FBM KLCI akan diguna pakai berikutan pelabur menunggu lebih banyak petunjuk dasar daripada kerajaan perpaduan dan mengambil kira ketidaktentuan luaran yang didorong oleh inflasi dan kegelisahan mengenai kadar faedah.


(Foto hiasan)

“Selagi indeks dapat mengekalkan kedudukannya melebihi paras 1,454 atau menyokong aliran trend, kami terus optimis bahawa FBM KLCI akan dapat meneruskan momentum meningkatnya,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Pada tengah hari, saham wajaran tinggi TNB naik 11 sen kepada RM9.18, Hong Leong Bank meningkat 12 sen kepada RM20.46 dan Digi menambah tujuh sen kepada RM3.82 manakala Public Bank tidak berubah pada RM4.42, Maybank dan CIMB, masing-masing merosot satu sen kepada RM8.64 dan RM5.65 serta Petronas Chemicals berkurangan 13 sen kepada RM8.42.

Dalam kalangan saham aktif, Borneo Oil naik setengah sen kepada 2.5 sen manakala KNM tidak berubah pada lima sen, MQ Technology merosot 1.5 sen kepada lima sen, AHB berkurangan tiga sen kepada 15.5 sen dan Advance Synergy susut setengah sen kepada 17 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas berkurangan 7.17 mata kepada 10,536.49, Indeks FBMT 100 merosot 4.78 mata kepada 10,240.74, Indeks FBM Emas Shariah susut 1.08 mata kepada 10,685.98, FBM 70 jatuh 27.97 mata kepada 12,873.35 dan FBM ACE merosot 39.90 mata kepada 5,458.81.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 11.62 mata kepada 16,471.94, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan merosot 1.23 mata kepada 180.14, Indeks Perladangan naik 3.63 mata kepada 6,729.94 dan Indeks Tenaga susut 8.62 mata kepada 779.77.- BERNAMA